fbpx
MENERUSI Break My Soul, Beyonce membuktikan keterbukaan dirinya ‘berkolaborasi’ dengan nama-nama seperti Robin S dan Big Freedia.

Beyonce ‘voguing’ dalam antem Break My Soul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENTARA menunggu tarikh keramat Beyonce melancarkan album terbaharunya berjudul Renaissance iaitu pada 29 Julai depan, pemilik nama lengkap Beyoncé Giselle Knowles-Carter itu ‘menghadiahkan’ para peminatnya di seluruh dunia dengan single perdana berjudul Break My Soul.

Menerima reaksi pelbagai, Break My Soul yang bermotifkan genre dance-pop dan suntikan house (electronic dance), tetap mendapat sambutan luar biasa daripada khalayak.

Dia Beyonce dan apa sahaja yang dikongsinya kepada dunia mudah meraih perhatian. Break My Soul tidak terkecuali menerima tempias positif yang sama.

Menyentuh tentang kualiti lagu berkenaan, tiada secebis penafian bahawa wanita itu berada pada kelasnya yang tersendiri. Melodi yang diketengahkan kali ini, kedengaran luar daripada kelaziman.

Mesej yang disampaikan menerusi tulisan lirik juga melambangkan Beyonce sebagai figura yang posisinya tinggi melangit, namun tidak pernah melupakan daratan yang menjadi tempat permainan atau persinggahan dirinya.

MELUPAKAN antara penghibur paling berpengaruh dunia, Beyonce berkongsi buah tangan terbaharu berjudul Break My Soul sebelum album Renaissance bertemu peminat Julai nanti.

‘Sampling’

Sudah jauh perjalanan Beyonce sebagai seorang pemuzik sejak zaman Destiny’s Child dan adalah satu perkara yang luar biasa betapa dirinya masih ‘menunduk’ dan bersifat terbuka menerima idea baharu untuk dikongsikan kepada peminat.

Itu dibuktikan dengan keterbukaannya menggunakan ‘sampling’ muzik daripada hit 1993, Show Me Love dendangan Robin S dan juga ‘pinjaman’ vokal daripada Big Freedia menerusi lagu berjudul Explode.

Secara peribadi, penulis menyifatkan Break My Soul sebagai satu antem gaya 1990-an yang membuatkan kepala sesiapa yang mendengar terangguk-angguk secara automatik. Pada masa sama, mesej yang diselitkan dalam lagu sangat jelas menjunjung tinggi elemen self-love dan jiwa mandiri.

Dalam pada itu, meminjamkan cuping telinga mendengar Break My Soul pantas membuatkan diri atau barangkali sesiapa yang mendengar untuk menari voguing iaitu tarian yang sangat bergaya dan moden yang berasal sekitar era 1980-an dan berkembang dari tempat kejadian iaitu Harlem pada 1960-an.

Pengulangan

Dari segi nukilan lirik, Break My Soul tidaklah sehebat atau setinggi lagu-lagu lama Beyonce seperti Crazy In Love atau Single Ladies (Put a Ring on It), namun mempunyai kualiti dan ritma tersendiri yang berpadanan dengan ideologi para pendengar masa kini.

Konsistensi penggunaan frasa ‘Break My Soul’ sangat membuatkan sesiapa yang mendengar berasa kecanduan sekali gus akan bertindak memainkan muzik tersebut secara berterusan hatta barangkali ada yang merasakan itu bersifat pengulangan yang membazir.

Sungguhpun begitu, muzik sifatnya universal dan selalunya cita rasa manusia tidak bulat muafakatnya, namun itu adalah lumrah yang tidak boleh dielakkan.

Tidak sabar menanti keseluruhan album Renaissance yang difahamkan akan memuatkan 16 buah trek dan seperti biasa apabila kalau Beyonce yang terlekat sebagai jenama, trofi Grammy sudah mula berkira-kira untuk ditambah dalam koleksi pengiktirafan diva itu.

POPULAR