fbpx

Tanda tanya kereta dalam sungai terjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba cuba mengesan mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam kereta jenis Perodua Axia yang dijumpai dalam sungai di Batu 13, Jalan Pahang, Tapah hari ini

TAPAH- Sebuah kereta yang ditemui dalam sungai di Batu 13, Jalan Pahang di sini hari ini, mengundang tanda tanya apabila tiada seorang mangsa dijumpai termasuk pemandu kenderaan.

Malah usaha pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah yang melakukan pencarian di dalam air dan sekitar kawasan kejadian turut menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, teka-teki itu terjawab apabila pasukan penyelamat berjaya menghubungi keluarga mangsa melalui pencarian nombor pendaftaran kenderaan.

Ketua BBP Tapah, Nadzri Che Nordin berkata, sepasukan 11 anggota dan seorang penyelia pasukan digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.50 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Axia berada di dalam sungai dipercayai terbabas sebelum terjatuh pada ketinggian dua meter.

“Operasi mencari mangsa dijalankan segera bagi mengesan sekiranya ada mangsa yang terperangkap. Mangsa bagaimanapun gagal ditemui walaupun pencarian turut dilakukan di kawasan sekitar dibimbangi dihanyutkan arus.

“Pada masa sama, kita juga cuba mengesan pemilik kenderaan menerusi nombor pendaftaran kenderaan dan berjaya menghubungi keluarga yang memaklumkan kedua-dua mangsa selamat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 11.40 malam dan kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Tapah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI