fbpx

Sindiket penipuan pendaftaran kad sim tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURINA menunjukkan mesin sim card multiplexer yang digunakan sindiket di Kangar, Perlis hari ini. SYED AZLAN SAYID HIZAR

KANGAR – Taktik sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang berselindung di sebalik perniagaan telekomunikasi terbongkar selepas diserbu sepasukan anggota polis di Taman Cahaya di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dalam serbuan pada pukul 5.40 petang itu, seramai empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang mengendalikan beberapa buah mesin dan komputer yang sering digunakan dalam aktiviti judi dalam talian (online).

“Siasatan awal mendapati tiada unsur perjudian online namun pemeriksaan lanjutan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berjaya mengesan kewujudan peralatan sim box multiplexer.

“Peralatan sim box multiplexer itu digunakan bagi mengaktifkan nombor kad prabayar yang didaftarkan tanpa melalui proses One Time Pin (OTP).

“Polis turut merampas 15 monitor, unit pemprosesan komputer (14), papan kekunci (13), peralatan sim card multiplexer (51), kad sim Hotlink (2,149), kad sim Umobile (935), telefon pintar (23) serta masing-masing satu pemacu kilat, tablet dan modem dianggarkan bernilai RM130,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kangar.

Menurut Surina, siasatan mendapati sindiket berkenaan membeli semua kad sim tersebut daripada pembekal syarikat telekomunikasi secara sah di negara ini.

“Sindiket berkenaan kemudiannya memasukkan data peribadi warga tempatan dan warga asing yang dibekalkan daripada sindiket lain lalu mendaftarkan kad sim tersebut.

“Biasanya, kad sim yang didaftarkan akan mendapat OTP yang dihantar kepada pemegang kad namun sindiket ini menggunakan peralatan sim card multiplexer bagi melangkau proses tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, nombor kad sim yang diaktifkan itu akan dijual kepada satu lagi sindiket yang menjalankan aktiviti jenayah komersial.

Difahamkan, kes ini merupakan kes pertama berjaya dipatahkan pihak polis di negeri Perlis dan siasatan lanjut dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Semua suspek direman selama tiga hari bermula 23 Jun hingga 25 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan peranti tidak standard. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI