fbpx
Zainal ketika sidang akhbar di IPD Gombak hari ini

Polis terima 73 kes laporan palsu, elak didenda JPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Polis mendedahkan sebanyak 73 laporan palsu diterima bermula Januari lalu sehingga kini dengan kebanyakan kes melibatkan kehilangan kad pengenalan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, 71 kes terbabit telah didakwa di mahkamah atas kesalahan membuat laporan polis palsu manakala dua lagi kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Kebanyakan individu terbabit membuat laporan palsu menggunakan alasan disamun, diragut dan curi bagi mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Siasatan akan dijalankan susulan laporan diterima. Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat keraguan dalam laporan itu yang membongkar penipuan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, semakan dilaksanakan di JPN mendapati individu yang kehilangan kad pengenalan perlu membayar denda RM110 (kali pertama), RM310 (kali kedua) dan RM1,100 (kali ketiga).

“Justeru itu, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu hanya kerana mahu mengelak bayaran denda kehilangan kad pengenalan.

“Individu yang didapati bersalah bagi kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, polis hari ini melupuskan sebanyak 12,438 barang kes bernilai RM5.3 juta melibatkan 1,335 kertas siasatan yang dibuka pada 2010 hingga tahun ini.

Menurutnya, polis turut melupuskan 50 wang palsu berjumlah RM4,350 membabitkan 43 kertas inkuiri polis menerusi siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak.

“Tindakan pelupusan ini dibuat dengan kebenaran majistret selepas kes berkenaan sudah dibicarakan dan pesalah dikenakan hukuman mahkamah.

“Semua barang dilupuskan secara ‘e-waste’ (e-sisa) dengan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR