fbpx
NORHAYATI (kanan) menunjukkan kotak minyak masak peket yang kosong selepas kehabisan stok di kedai runcitnya di Kulim semalam. – AZAHAR HASHIM

Minyak peket jadi rebutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian besar kedai runcit di beberapa negeri didapati sudah kehabisan stok minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 satu kilogram (kg) ekoran permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan ketika ini.

Sebelum ini, masalah kekura­ngan bekalan telah berlaku sejak musim perayaan lalu, namun keadaan semakin meruncing selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak sawit di dalam botol mulai 1 Julai ini.

Orang ramai dikatakan membuat pembelian ‘panik’ kerana dikhuatiri ketiadaan bekalan pada bulan depan apabila minyak masak peket bakal menjadi rebutan ramai selepas harga minyak masak sawit di dalam botol dijangka naik.

Di Kulim, Kedah, seorang peniaga kedai runcit, Norhayati Sollehuddin, 28, berkata, dia sudah kehabisan bekalan minyak masak peket sejak lebih dua hari lalu.

Menurutnya, pembekal tidak menghantar stok sejak seminggu lalu menyebabkan minyak di dalam botol juga habis terjual.

“Setiap kali bekalan minyak peket sampai di kedai, hanya dalam tempoh beberapa jam ia akan habis dijual.

“Disebabkan itu, kami terpaksa mengehadkan pembelian dua peket minyak masak kepada setiap pelanggan agar dapat dijual secara adil kepada semua orang,” katanya semalam.

Menurutnya, sejak kelmarin, semakin ramai pelanggan datang ke kedainya untuk membeli minyak masak, namun terpaksa pulang dengan hampa kerana ketiadaan stok.

Di Kota Bharu, Kelantan, seorang peniaga kedai runcit di Kampung Kedai Lalat mendedahkan, dia diwajibkan untuk membeli bungkusan mengandungi 24 peket gula sebagai ‘tiket’ untuk membeli sekotak minyak masak berisi 17 peket di sebuah kedai borong.

SEORANG pembantu kedai menunjukkan rak minyak masak peket yang telah kosong di Sri Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Nafisah Abdul Kadir, 57, kedai borong terbabit mene­tapkan syarat ketat itu kerana mengalami kekurangan bekalan dan ia dipercayai salah satu langkah untuk mengehadkan pembelian bahan mentah tersebut secara borong.

Katanya, kedai borong itu menjual 24 peket gula pada harga RM67 yang membolehkan peruncit membeli 17kg minyak masak paket berharga RM42.50.

“Bagi saya, kaedah ini sebenarnya tidak membebankan peniaga kerana kita boleh menjual semula gula-gula tersebut mengikut harga pasaran.

“Pemborong hanya menetapkan ‘tiket’ pembelian itu sebagai langkah untuk mengehadkan jualan minyak peket satu kilogram yang mendapat permintaan tinggi ketika ini,” ujarnya.

Menurutnya, berikutan stok terhad, dia juga terpaksa menetapkan setiap pembelian minyak masak satu kilogram sebanyak dua peket kepada setiap pelanggan di kedainya.

Nafisah turut mengakui bahawa permintaan terhadap minyak masak di dalam botol di kedainya amat rendah sehingga dia kurang membawa masuk stok minyak tersebut.

“Bagaimanapun, harga minyak masak peket naik 20 sen ia­itu RM3 sekilogram berbanding sebelum ini, namun pelanggan tetap mencari minyak tersebut meskipun sukar diperoleh.

“Berbeza dengan minyak masak botol, meskipun stok banyak di pasaran, jualannya tidak memberangsangkan,” katanya.

Selasa lalu, kerajaan mengu­mumkan kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol 2kg hingga 5kg tidak diteruskan mulai 1 Julai ini.

Pemansuhan itu menyebabkan harga tiga barangan utama tersebut dijangka mengalami kenaikan.

Bagaimanapun kelmarin, ke­rajaan mengumumkan bantuan tunai tambahan kepada keluarga golongan B40 melibatkan pemberian RM100, manakala golongan bujang pula menerima RM50.

Bantuan Keluarga Malaysia itu diberikan dengan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN