fbpx

383 kes tangkapan jenayah komersial di Negeri Sembilan sehingga Mei lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslan Khalid memeriksa kawalan kehormatan pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di pekarangan IPK Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

SEREMBAN – Sebanyak 383 kes tangkapan telah direkodkan di Negeri Sembilan membabitkan jenayah komersial sejak bulan Januari hingga Mei lalu dengan kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan kes tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 189 kes.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, sebanyak 66 tangkapan pula melibatkan kes pinjaman tidak wujud, diikuti skim pelaburan (51), penipuan tawaran kerja (35), Macau Scam (24) dan Love Scam (18).

“Modus operandi (penjenayah) seperti Macau Scam ini, mereka menggunakan nombor tidak dikenali dan memberitahu mereka dari pihak berkuasa seperti pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mereka memaklumkan mangsa terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk langgar lari, dadah atau penggubahan wang haram dan melarang mangsa untuk memberitahu sesiapa.

“Mereka yang melakukan Macau Scam ini juga lebih kreatif, oleh itu kami akan mengadakan kempen serta nasihat kerana terdapat mereka yang berjawatan tinggi juga yang tertipu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Ruslan, daripada keseluruhan 383 kes tangkapan tersebut, 249 kes telahpun dituduh di mahkamah.

“Bagi tempoh yang sama juga sebanyak 839 kes jenayah komersial dilaporkan di negeri ini iaitu peningkatan 6.87 peratus iaitu sebanyak 785 kes berbanding tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan sindiket yang kini semakin berani mencari mangsa untuk dijadikan ‘keldai akaun’.

“Mereka sanggup bersubahat dengan scammer bagi mendapatkan wang, melakukan jenayah dengan menganiaya orang lain. Saya mahu ingatkan masyarakat agar tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI