fbpx

MTC umum penganjuran Ekspo Kayu Malaysia 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORRIDA (bertudung merah jambu) bersama pengurusan tertinggi MTC dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada majlis pengumuman MWE 2022 di ibu negara, kelmarin.

PETALING JAYA – Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) mengumumkan penganjuran Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2022 yang bakal diadakan pada 20-22 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Bertujuan memartabatkan industri di tengah-tengah endemik, pameran perdagangan itu disasarkan untuk memberi inspirasi, penyelesaian baharu dan peluang lebih besar dalam industri perkayuan.

Pengerusi MTC, Norrida Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kehadiran pembeli antarabangsa yang tinggi, menawarkan peluang perniagaan terbaik buat pempamer.

“Segala-galanya bakal digandakan berbanding MWE 2019, daripada ruang lantai pameran hinggalah kepada pelbagai inisiatif yang disediakan untuk menjadikan ekspo ini satu kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

MWE 2022 dianjurkan bersama oleh MTC dan Panels & Furniture Group, serta disokong oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

MWE 2019 sebelum ini telah meraih banyak kejayaan dengan lebih 60 peratus daripada pempamer adalah dari luar negara, malah sebahagian daripada mereka berjaya menjual kesemua peralatan yang ditawarkan pada hari pertama ekspo berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili berkata, MWE 2019 telah meraih jualan sebanyak RM140 juta, berbanding sasaran awal RM25 juta.

“Kami berharap dapat melakukan yang lebih baik tahun ini kerana banyak pelabur serta pemilik perniagaan telah meletakkan pandemik di belakang mereka dan bersiap sedia untuk lebih banyak urusan perniagaan secara bersemuka di pameran perdagangan ini,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan, MTC akan menyediakan insentif buat pembeli tempatan yang membeli mesin, barangan Kawalan Pencemaran Udara (APC) dan bahan mentah.

Sementara itu, Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menawarkan Geran Pembangunan Pasaran buat pempamer tempatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI