fbpx

Tiga lelaki ditahan kes curi peralatan elektrik, seorang warga Syria diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai barangan curi dianggarkan bernilai RM85,000 yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis di Putra Point, Bandar Baru Nilai. FOTO: IHSAN POLIS

SEREMBAN – Polis berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes mencuri peralatan elektrik di sebuah premis perniagaan di Putra Point, Bandar Baru Nilai di sini semalam dan merampas barang kes keseluruhan berjumlah RM85,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superitendan Mat Ghani Lateh berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 48 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi iaitu tidak sampai 24 jam selepas polis menerima aduan daripada mangsa.

“Hasil maklumat diterima, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah membuat serbuan di sebuah premis di Putra Point, Bandar Baru Nilai dan menahan tiga lelaki.

“Dalam serbuan itu, semua barang yang dicuri berjaya ditemui semula iaitu tiga buah televisyen, pembesar suara (7), set amplifier mixer (2), lampu laser (1), mikrofon (1) dan tiga gulung wayar termasuk sebuah van Toyota Hiace yang digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, anggaran barang yang ditemui dan dirampas itu berjumlah RM85,000.

Menurut Mat Ghani, bagaimanapun pihak polis masih dalam usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu lelaki warganegara Syria dipercayai boleh membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dalam bangunan dengan jalan menyebabkan kerugian. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan denda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI