NEW DELHI – Polis India menangkap tiga lelaki yang didakwa membunuh bintang irama hip-hop, Sidhu Moose Wala dan merampas pelbagai jenis senjata api daripada ketiga-tiga suspek termasuk pelancar grenad.
Moose Wala atau nama sebenarnya, Shubhdeep Singh Sidhu ditembak mati di dalam keretanya di negeri Punjab, utara India pada bulan lalu.
Lelaki berusia 28 tahun itu merupakan pemuzik popular di India dan dalam kalangan masyarakat Punjabi di luar negara terutamanya di Kanada serta Britain.
Komisioner Khas Polis, H.S. Dhaliwal memberitahu pemberita di Delhi semalam bahawa ketiga-tiga suspek diberkas di negeri Gujarat, barat India hujung minggu lalu.
Polis turut merampas beberapa butir grenad, selaras pelancar grenad, selaras raifal tempur, dan beberapa pucuk pistol daripada kesemua suspek.
Media tempatan melaporkan bahawa gengster berpangkalan di Kanada, Goldy Brar mengaku bertanggungjawab mendalangi pembunuhan penyanyi rap berkenaan.
“Brar memanggil salah seorang pembunuh upahannya pada hari kejadian dan mengarahkannya supaya memastikan Moose Wala mati.
“Sekiranya senjata api gagal, gunakan sahaja bom,” akhbar Hindustan Times memetik seorang pegawai polis sebagai berkata.
Moose Wala mengecapi populariti dengan menerbitkan lagu yang mengkritik penyanyi rap lain dan ahli politik. – Agensi