fbpx

153,712 rumah mampu milik Johor gagal dibina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 153,712 rumah mampu milik Johor gagal dibina pemaju hartanah sejak 25 tahun.

ISKANDAR PUTERI – Pemaju perumahan ‘berhutang’ sebanyak 153,712 unit rumah mampu milik yang telah gagal disiapkan mengikut perjanjian dengan kerajaan Johor sejak 25 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, jumlah itu berdasarkan data kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Pelan Susunatur di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Johor.

Menurut beliau, kegagalan pembinaan tersebut perlu diatasi dengan segera menggunakan strategi dan pemantauan yang berkesan, hal itu kerana projek rumah mahal telah siap dibina.

“Kerajaan negeri telah meminta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) untuk merangka pembentukan Planning, Design and Rewiew Comitteee (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau, dan memudahcara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik.

“Jawatankuasa yang akan dianggotai pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, PlanMalaysia@Johor dan agensi-agensi utiliti lain akan menjadi platform utama kepada inisiatif pembinaan segmen perumahan bagi kumpulan B40 dan M40.

“PKPJ juga akan menjadikan ‘centralised database’ bagi memastikan koordinasi yang lebih efisyen bagi pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan transit oleh semua agensi Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan Persekutuan dan juga pemaju hartanah swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berhubung inisiatif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan rumah mampu milik di Johor sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Jafni, kerajaan negeri melalui KM di peringkat PBT telah mensasarkan untuk membina sejumlah 21,139 unit rumah mampu milik secara berperingkat sehingga tahun 2026.

“Sasaran pembinaan untuk akhir tahun ini dan tahun 2023 adalah pembinaan sebanyak 5,033 rumah mampu milik termasuk penawaran.

“Johor juga telah mengenalpasti tanah kerajaan yang bersesuaian bagi pembinaan perumahan untuk kumpulan B40 dan M40, samada perumahan mampu milik yang boleh dibeli mahupun perumahan transit bagi memenuhi keperluan keperluan bangsa Johor,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI