HIDUP adalah sebuah perjalanan menuju destinasi yang belum pasti, jalannya pula belum tahu. Hari kelmarin bahagia dikecapi, namun esok lusa hanya Tuhan sahaja tahu bagaimana acuannya. Buat pemilik nama lengkap, Yasmin Hani Ismail Richardson, dia tidak mahu terlalu mencanang tentang pengakhiran bahtera rumah tangga dengan bekas suami yang juga bekas gitaris kumpulan Black Rose, Shahrin Razali.
Kendatipun, Yasmin juga enggan khalayak sewenang-wenang meletakkan tanggapan bahawa dirinya langsung tidak terkesan dek kehancuran yang berlaku. Sama seperti orang lain, Yasmin mengakui, kedudukan tetap seorang manusia yang penuh cela.
Yasmin Hani bagaimanapun menegaskan, dia seorang wanita yang punya hati dan perasaan yang mudah remuk, namun hakikatnya juga, dia perlu bangkit bukan hanya untuk diri sendiri bahkan buat anak-anak, Noah Ismail Wong, Eissa Elzander Wong.
Demi anak-anak
“Saya tak canang tapi paling penting sekali, kalau saya buat begitu (canang), bagaimana dengan anak-anak. Nanti pada masa depan mereka akan baca, itu saya yang tak mahu.
“Saya tak nak mereka tahu perkara sebenar. Remuk nanti hati mereka. Sebab apa, saya sendiri pernah alami emosi sama saat ibu bapa bercerai.

anak-anak.
“Ibu bapa saya tak bercerita langsung apabila mereka bercerai dan itu menjadi teladan buat saya. Apabila dewasa, barulah saya faham.
“Saya tak nak disebabkan perceraian, masa depan anak-anak terganggu.
“Orang tua saya mendidik saya untuk menjadi ibu yang bertanggungjawab dan saya mengharapkan energi sama daripada pihak bekas suami,” kata Yasmin kepada Pose.
Bakal muncul dengan drama berjudul She Was Pretty yang akan ditayangkan menerusi perkhidmatan video over-the-top, Viu, Yasmin berkata, perasaan anak-anak diletakkan di tangga pertama berbanding segala-galanya.
“Kalau kita utamakan anak-anak, perasaan sakit itu jatuh di tempat kedua. tak sesakit apa yang kita ingat.
“Sebab keutamaan kita adalah anak-anak. Apa-apa jadi kepada anak-anak, saya dan bekas suami juga yang kena ambil tahu.
“Nak tak nak, kita kena belakangkan kepentingan sendiri dan jalankan tanggungjawab bersama dengan baik,” getusnya.
Ditanya tentang pendapatnya berhubung mana-mana pasangan suami isteri atau kekasih yang terperangkap dalam perhubungan toksik, Yasmin memberitahu, kalau sudah tiada apa yang boleh dibaiki, jangan cuba untuk menjadi superhero atau adiwira.
Jangan cuba jadi adiwira
“Tolong jangan cuba menjadi seorang adiwira. Anda tiada ‘cape’ di belakang macam Superman. Macam mana sekali pun nak cuba, tolong selamatkan diri anda dahulu.
“Dalam pesawat, kalau ada apa-apa masalah pun, selamatkan diri anda dulu barulah selamatkan orang lain.
“Kalau rasa sakit dah tak boleh dirawat tapi terus dan terus bertahan, semata-mata masih berharap, saya rasa memang tak ke mana pun.
“Kena kuatkan diri dan keluar daripada perhubungan toksik kerana setiap orang layak untuk perkara terbaik dalam hidup.

“Harapan dan impian, kadang-kadang hanya gah pada nama tapi kalau tangan tak gerak, tiada usaha, lepaskanlah. Jangan takut dan usah risau dengan apa khalayak fikir.
“Hujungnya nanti, yang tolong diri bukan khalayak tetapi diri kita sendiri. Yang sakit dan bahagia pun nanti kita juga,” ujarnya penuh maksud mendalam.
Dalam pada itu, bekas penyampai radio Era FM itu juga menasihatkan mana-mana individu, terutama wanita agar berpaut pada kepercayaan dan maruah diri sendiri dalam apa permasalahan yang dihadapi.
“Janganlah pula cuba sekali tak jalan terus mengalah. Bagaimanapun, kalau orang cakap terus cuba untuk memperbaiki sesuatu perhubungan tapi anda sendiri sudah tak bermaya, keluar dan jangan simpan sendiri.
“Cakap dengan orang yang rapat dengan kita. Insya-Allah, kegusaran dan kesulitan dalam hati akan dipermudahkan. Tuhan akan bagi jodoh yang lebih baik tapi kalau pun dapat (jodoh) lebih buruk, belajarlah lagi,” ujarnya.
Masa depan, Alif Hadi
Dilihat semakin bahagia bersama ‘orang baharu’ iaitu Alif Hadi, Yasmin sebenarnya enggan terburu-buru menamatkan zaman janda, namun mengakui lelaki berkulit sawo matang itu sangat istimewa dalam hatinya.
“Saya pernah berumahtangga dan tahu apa yang perlu ada untuk menjalani kehidupan bersama. Jadi, saya kena pastikan orang yang bakal saya hidup bersama cocok daripada pelbagai segi bukan untuk saya tetapi anak-anak juga.
“Beginilah, ibarat saya dah lari maraton 21 kilometer (km) tapi dia Alif baru nak mula.

“Adakah saya akan patah balik? Tidak, sebab saya dah ada dua orang anak tapi Alif kena cepat lari.
“Saya tak kisah kongsi dengan umum yang saya memang sedang mengenali rapat dirinya. Kalau tak jadi nanti pun, saya takkan rasa malu sebab saya masih belum lagi memahat status isteri.
“Saya dah bincang macam-macam dengan dia. Dia pun tahu usia saya sudah 43 tahun. Kalau tiada anak macam mana? “Saya pernah tanya, dia jawab: ‘dia okey’. Saya pun cakap kalau dia nak yang lagi muda, saya tiada kualiti itu,” ujarnya menggulung perbualan.














