fbpx

Glasier Kiamat di Antartika mencair lebih cepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saintis membuat kajian mengenai kadar perubahan paras laut tempatan yang turut mengukur jumlah pencairan ais. - NASA

AUGUSTA, Maine – Satu kajian baharu mendedahkan bahawa pencairan glasier di Benua Antartika berlaku semakin pantas dan dijangka menjadi punca kenaikan paras laut di seluruh dunia dalam tempoh beberapa abad akan datang, lapor portal berita MailOnline.

Berdasarkan hasil kajian pasukan penyelidik daripada  Universiti Maine dan Kajian Antartika Britain, paras laut boleh meningkat sehingga 3.4 meter.

Disebabkan kemampuannnya mengubah paras laut dunia, glasier di Lapisan  Ais Antartika Barat (WAIS) turut digelar sebagai Glasier Hari Kiamat.

Pasukan penyelidik tersebut mengukur kadar perubahan paras laut tempatan yang merupakan cara tidak langsung untuk mengukur kehilangan ais glasier.

Kajian mereka menunjukkan bahawa glasier kini mencair pada kadar yang tidak pernah dilihat sejak 5,500 tahun yang lalu.

“Walaupun glasier yang terdedah kepada situasi ini agak stabil sejak beberapa milenium lalu, kadar pencairan semasa kini semakin pantas dan telah menyebabkan paras laut global meningkat,” kata pengarang bersama kajian itu, Dr. Dylan Rood.

WAIS adalah rumah kepada glasier Thwaites dan Pine Island. Lapisan ais menjadi semakin nipis  sejak beberapa dekad yang lalu berikutan peningkatan suhu global.

Glasier Thwaites kini memiliki saiz 192,000 kilometer persegi, kira-kira saiz Great Britain.

Memiliki keluasan 162,300 kilometer persegi, glasier Pine Island pula menyamai saiz negeri Florida di Amerika Syarikat (AS).

Pencairan pasangan glasier utama ini berpotensi menyebabkan kenaikan signifikan paras laut global.

Dalam kajian baharu tersebut, pasukan penyelidik mengukur kadar pencairan ais melibatkan kedua-dua glasier ini sejak pertengahan zaman Holocene sekitar lebih 5,000 tahun yang lalu.

“Kadar pencairan ais yang meningkat pada masa ini mungkin memberi isyarat bahawa ‘arteri penting daripada jantung’ WAIS telah pecah, menyebabkan aliran ke lautan yang berpotensi membawa bencana terhadap paras laut global di masa depan dalam dunia yang semakin panas,” kata Rood.

Secara keseluruhannya, hasil kajian itu menunjukkan  kadar pencairan semasa meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak 30 tahun yang lalu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI