fbpx

Adibah Noor ‘trending’ di Twitter, ramai kongsi kebaikan arwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar ciapan seorang pengguna Twitter berterima kasih kepada arwah Adibah Noor kerana pernah sudi membantu keluarganya.

PETALING JAYA – Pemergian penyanyi popular, Adibah Noor menjadi ‘kejutan’ buat rakyat Malaysia selepas dilaporkan meninggal dunia pada pukul 6.30 petang semalam di sebuah pusat perubatan di ibu negara.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati pelbagai hantaran dan ciapan dimuat naik oleh netizen yang berkongsi mengenai kebaikan yang dilakukan Allahyarhamah.

Seorang peniaga, Sharina Hasdi berkata, Allahyarhamah pernah membantu mempromosikan perniagaannya di Twitter tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Kak Adibah Noor seorang yang baik hati, sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia bantu ramai peniaga kecil temasuklah saya dengan mempromosikan perniagaan tanpa sebarang bayaran,” ciapnya.

Sementara itu, pengguna Twitter, Jefri El’Mansor berkongsi bahawa arwah Adibah Noor pernah menyumbang wang tunai kepada keluarganya.

“Salam Iz, izinkan saya bantu ‘top up’ balik duit raya anak, tolong maklumkan pada saya berapa dan nombor akaun bank. Jangan segan,” kata arwah menerusi kiriman mesej di media sosial kepadanya.

Difahamkan, pada awalnya, lelaki itu terpaksa menggunakan duit raya anaknya untuk membeli susu dan lampin pakai buang, namun dihadirkan seorang insan berhati mulia datang membantu keluarganya semula.

“Terima kasih kakak Adibah Noor sebab dulu pernah membantu keluarga kami,” tulisnya.

Siapa menyangka dengan pemergian itu, satu persatu kebaikan Allahyarhamah diceritakan kepada umum bahawa beliau berbudi secara diam sehingga namanya menjadi ‘trending’ di Twitter ketika ini.

Ramai yang menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang pemurah dan prihatin serta sentiasa menyumbang jasa kepada orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI