fbpx
Lim Hock San

LBS ramal pemulihan sektor hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) meramalkan pemulihan dalam sektor hartanah domestik tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya melihat peningkatan menggalakkan di dalam industri pasaran hartanah selaras dengan pemulihan ekonomi.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, jumlah kumulatif permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada suku tahun pertama 2022 meningkat 4.06 peratus tahun ke tahun.

“LBS konsisten berada di landasan yang tepat dengan rancangan untuk melancarkan 14 projek dianggarkan bernilai RM1.77 bilion pada 2022 di Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan LBS baru-baru ini.

Pada sesi yang dijalankan secara maya itu, pemegang saham LBS meluluskan pemberian dividen akhir satu peringkat sebanyak satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, sebagai penambahan kepada dividen interim pertama sebanyak 0.85 sen sesaham.

Ini menjadikan jumlah dividen LBS untuk tahun kewangan 2021 sebanyak 1.85 sen sesaham.

Hock San menambah, 2021 merupakan tahun yang membuahkan hasil bagi Kumpulan.

“Kami akan mengharungi cabaran 2022 dengan berhati-hati di tengah-tengah pemulihan ekonomi, dan berharap untuk terus mengemudi LBS ke hadapan di samping meningkatkan nilai pemegang kepentingan,” katanya.

Sehingga 15 Jun 2022, LBS merekodkan jualan hartanah sebanyak RM816 juta dengan tempahan dalam perancangan sejumlah RM 683 juta.

Kumpulan menyasarkan jualan berjumlah RM1.6 bilion tahun ini. – KOSMO! ONLINE

POPULAR