fbpx

Aishah Azman tak fobia dengan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH AZMAN

PUTUS tunang dan pernah digemparkan dengan episod hitam, kisah cinta tidak kesampaian empat tahun lalu tersebut bagaimanapun tidak sesekali menutup kamar hati pelakon Aishah Azman untuk kembali dihuni lelaki lain.

Tidak trauma, namun semestinya pucuk muda itu memilih untuk lebih berhati-hati dalam setiap keputusan dan perkara termasuk dalam hubungan cinta pada masa akan datang.

Enggan meletakkan dirinya terikat dengan mana-mana hubungan ketika ini, Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman Shah mengakui meletakkan kriteria tertentu dalam memilih calon suami kelak.

Ujarnya, tidak salah untuknya meletakkan syarat kerana sebagai seorang wanita, dia mahukan yang terbaik dan enggan memperjudikan serta menghabiskan hidup dengan individu yang salah.

“Saya tidak fobia pun hendak bercinta, malah pintu hati tak pernah ditutup dan sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki.

“Namun, saya memilih untuk berhati-hati mencari calon yang sesuai. Ketika ini masih belum jumpa,” katanya kepada Hib Glam baru-baru ini.

Menepis sekeras-kerasnya dakwaan ramai kononnya terlalu ‘jual mahal’ dan sukar didekati, pelakon berusia 27 tahun itu mengakui pengalaman lalu mengajarnya untuk mendalami hati budi seseorang terlebih dahulu sebelum terbuka meneruskan hubungan ke fasa lebih serius.

PERNAH putus tunang dengan pelakon Syafie Naswip, Aishah mengakui tidak fobia untuk kembali bercinta namun semakin berhati-hati menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.

Tanpa berselindung, Aishah memberitahu berpendidikan merupakan antara kriteria yang ditetapkan dalam proses mencari teman sehidup semati.

“Saya sudah ada pengalaman lalu. Semua itu banyak beri pengajaran dan lebih mudah untuk saya kenal keperibadian seseorang.

“Kalau boleh, saya nak cari calon suami yang berpendidikan sebab mereka lebih bijak dalam membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu masalah.

“Selain itu, calon suami saya haruslah lelaki yang pandai menghormati orang tua. Itu memang menjadi keutamaan saya kalau nak berkahwin nanti. Semoga semua doa ini dimakbulkan,” ujarnya.

Selepas putus tunang, pelakon drama Suri Katriana itu tidak menafikan dirinya pernah didekati beberapa lelaki sebelum ini. Bagaimanapun, adik kepada pelakon Afiq Muiz itu tidak melayan permintaan mereka untuk saling mengenali.

Selain berpendidikan, Aishah juga seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada menjalin hubungan cinta dengan individu yang turut bekerja dalam bidang hiburan.

“Ada saja lelaki yang cuba dekati saya sekarang tapi saya memilih untuk tidak melayan. Kalau boleh saya tak mahu orang yang berkecimpung dalam industri hiburan, saya mahu orang luar daripada bidang ini.

“Mereka yang mendekati saya itu pun bukanlah golongan selebriti, mereka orang biasa, mungkin ada yang menepati cita rasa tetapi nanti dululah,” ujarnya.

DALAM soal mencari calon suami, Aishah mahukan lelaki berpendidikan dan menghormati orang tua.

Masih aktif berlakon

Jauh dari sebarang cerita panas apatah lagi kontroversi memakan diri sejak mengenakan imej bertudung, Aishah mengaku lebih selesa dengan kehidupan sekarang.

Dia juga memilih untuk tidak terlalu aktif berkongsi perihal peribadi dalam ruangan media sosial melainkan berkaitan dengan urusan kerja.

“Saya pilih untuk kurang kongsi cerita peribadi dalam media sosial dan mungkin sebab itu jugalah ramai yang ingat saya tidak lagi berlakon.

“Mungkin sebab itu nama saya kurang diingati sebab tidak muncul dengan kontroversi.

“Realitinya saya sibuk berlakon tetapi kebanyakannya dengan stesen televisyen RTM. Janganlah salah faham,” katanya.

Bercakap tentang karier, anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang itu mendedahkan sering ditawarkan watak baik sejak bertudung.

Akuinya, seperti wujud limitasi tawaran buat berbanding ketika belum berhijab sebelum ini.

“Ada pengarah dan penerbit yang terlupa saya kini sudah bertudung dan menawarkan saya watak tidak bertudung dan antagonis. Banyak kali juga saya kena jelaskan.

SELAIN inginkan kelainan dalam watak, Aishah bagaimanapun menolak tawaran yang memerlukannya memakai rambut palsu dalam mana-mana naskhah kerana perkara tersebut sememangnya haram di sisi agama.

Limitasi watak berhijab

“Pernah juga sebelum ini ada tawaran untuk filem, tetapi sayang, saya terpaksa lepaskan juga sebab watak itu untuk wanita tidak bertudung. Walaupun rasa ralat, saya percaya ada rezeki lain akan hadir,” ujarnya.

Ingin suaranya didengari, Aishah berharap mana-mana penerbit, pengarah dan penggiat industri kreatif tidak meletakkan sebarang limitasi kepada selebriti bertudung.

“Kalau boleh, saya nak tukar perspektif umum bahawa imej bertudung tidak semestinya kena ada limitasi. Tak semestinya bertudung kena pakai jubah semata-mata.

“Asal watak tudung saja mesti kena baik dan pegang watak-watak klise. Sedangkan mungkin boleh diberikan watak psiko dan sebagainya,” tuturnya lagi.

Berkaitan imejnya juga, bintang drama Bagaikan Kelip-Kelip itu enggan mengubah penampilannya sebagai seorang Muslimah dengan terlalu drastik.

“Sejujurnya susah nak istiqamah untuk saya yang terlibat dalam industri seni. Tak mahu berubah secara drastik dan enggan meletakkan diri saya untuk memakai tudung jenis labuh sehingga ke tahap yang digelar Muslimah.

“Asalkan menutup bahagian yang sepatutnya seperti pemakaian sarung lengan dan stoking kaki, itu sudah mencukupi bagi saya.

“Saya nak tekankan bahawa bertudung bukan penghalang untuk seseorang kekal berfesyen,” katanya mengakhiri perbualan.

AISHAH AZMAN pernah mencuri perhatian ramai sekitar Februari tahun lalu apabila muncul dengan imej berhijab dan memadam semua foto seksi dalam media sosialnya. – foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR & INSTAGRAM AISHAH AZMAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI