fbpx

Waldorf Astoria Kuala Lumpur mula beroperasi 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Salah satu jenama hotel mewah milik Hilton, Waldorf Astoria Hotels & Resorts hari ini mengumumkan kemasukannya ke negara ini menerusi Waldorf Astoria Kuala Lumpur.

Dijadualkan untuk dibuka pada 2024, Waldorf Astoria Kuala Lumpur akan dibangunkan serta dimiliki oleh Tradewinds Corporation Bhd. (Tradewinds) dan diuruskan Hilton.

Ia meneruskan proses kemasukan jenama tersebut ke destinasi tumpuan seperti Sydney, Tokyo, Osaka dan Jakarta serta menyertai portfolio Waldorf Astoria Hotels & Resorts di Asia Pasifik termasuk Maldives, Bangkok, Beijing serta Shanghai.

Naib Presiden Kanan Pembangunan, Asia dan Australasia, Hilton, Guy Phillips berkata, pihaknya teruja untuk mengembangkan kerjasama dengan Tradewinds bagi melancarkan hotel pertama Waldorf Astoria Hotels & Resorts di Malaysia.

“Sebagai salah satu daripada pintu masuk utama Asia, Kuala Lumpur dan Malaysia amnya sentiasa menjadi pasaran keutamaan bagi Hilton.

“Waldorf Astoria Kuala Lumpur ialah penambahan hebat kepada rangkaian jenama kami di sini dan kami berharap untuk mengembangkan lagi jejak kami sambil mengalu-alukan lebih ramai tetamu dengan layanan mesra Hilton,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan proses pengubahsuaian dan pembinaan dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini tetamu boleh menantikan hiasan dalaman dan perabot yang direka khas di setiap 279 suite Waldorf Astoria Kuala Lumpur. 

Saiz bilik akan bermula daripada 76 meter persegi, menawarkan tetamu ruang mewah untuk berehat dan bersantai.

Hotel mewah terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur itu juga akan menampilkan kecemerlangan kulinari melalui lima restorannya yang tersendiri termasuk Peacock Alley, lounge dan bar ikonik yang sinonim dengan jenama Waldorf Astoria, serta pusat kesejahteraan yang canggih. 

Dengan penyediaan ruang mesyuarat seluas 3,390 meter persegi, termasuk dewan seluas 1,845 meter persegi, Waldorf Astoria Kuala Lumpur bakal menjadi tempat yang sesuai untuk perayaan dan acara bertaraf dunia.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tradewinds Corporation Berhad, Muhammad Zainal Ashikin berkata, pihaknya berbesar hati untuk melanjutkan perkongsian dengan Hilton dan membawa jenama ikonik Waldorf Astoria Hotels & Resorts ke Malaysia. 

“Kami percaya usaha ini akan memberikan nilai tambah yang tinggi dan meningkatkan tawaran hospitaliti negara kepada kedua-dua pelancong perniagaan dan percutian, serta mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI