PETALING JAYA – Selangor mencatatkan aduan jalan bermasalah paling banyak terutamanya melibatkan laluan berlubang diikuti Johor, Sabah dan Sarawak yang disebabkan oleh kenderaan berat.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, pihaknya menerima lebih 20 laporan berkaitan jalan berlubang di seluruh negara setiap hari.
Katanya, antara masalah yang kerap dilaporkan adalah turapan jalan tidak rata, jalan berlubang, garisan jalan raya tidak jelas, bonggol tidak dicat dengan baik dan pelbagai masalah lagi.
“Sebagai contoh di Selangor, banyak aduan yang kita (Brotherhood) terima adalah berkaitan jalan rosak akibat dilalui oleh kenderaan berat terutamanya kawasan seperti Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang.
“Ketiga-tiga kawasan ini adalah kawasan perindustrian dan digunakan kenderaan berat hampir setiap hari, namun spesifikasi jalan raya di situ kebanyakannya bukan untuk kenderaan berat. Sebab itu ia cepat rosak,” katanya.
Mengulas lanjut, Azlan Sani berkata, seharusnya pihak berkuasa menilai semula spesifikasi jalan di kawasan berkenaan supaya ia sesuai dengan kenderaan yang melaluinya.
Selain itu, katanya, laluan itu juga kerap menjadi ‘hotspot’ kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan penunggang motosikal dan juga kenderaan berat.
“Untuk makluman, selain daripada aduan jalan rosak, Brotherhood juga turut menerima lebih lima kes kemalangan jalan raya setiap hari di seluruh negara disebabkan faktor jalan raya,” katanya.
Tambah Lando, walaupun komuniti Brotherhood telah mencapai lebih 20,000 ahli, namun mereka tidak mampu untuk ‘menampal’ dan menyelenggara jalan di seluruh negara.
“Ini kerana, kita hanya bergerak atas dana sendiri dan tiada peruntukkan daripada mana-mana pihak.
“Harapan kami adalah supaya semua ‘pemilik’ jalan bertanggungjawab ke atas kawasan mereka supaya setiap cukai yang dibayar oleh pengguna dapat digunakan sepenuhnya menyelenggara laluan masing-masing,” jelasnya.















