fbpx

Kerajaan fokus subsidi pada golongan berpendapatan rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (dua dari kiri) menyerahkan Watikah Pelantikan Ahli MPPN Sesi 2022–2023 kepada Mohd. Azmi (tiga kanan) pada Majlis Pelancaran Portal My Safe KPDNHEP dan Penyerahan Watikah Pelantikan MPPN di KPDNHEP Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Pemberian subsidi oleh kerajaan selepas ini akan dilakukan secara berperingkat terhadap barangan atau produk tertentu yang mensasarkan pengguna daripada golongan berpendapatan rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setelah penelitian dilakukan, kerajaan memutuskan untuk menghentikan penetapan harga maksimum dan terus membantu pengguna yang berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini adalah satu kerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) yang dijangka akan dilaksanakan dalam penghujung bulan ini bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah dalam berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

“Ada beberapa langkah yang telah difikirkan sesuai untuk sistem pemberian subsidi bersasar ini bagi menggantikan sistem subsidi pukal sedia ada dan ia akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Portal My Safe dan Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.

Menurut Alexander, keutamaan kerajaan kini adalah memberikan subsidi mengikut keperluan memandangkan ekonomi negara tidak akan mampu bertahan sekiranya subsidi berterusan diberikan secara pukal seperti sekarang.

“Mungkin ada golongan berkemampuan yang tidak memerlukan subsidi tetapi turut menikmatinya jika subsidi diberi secara pukal. Ia tidak bermakna kita tidak mahu mereka menikmati subsidi namun kos subsidi akan menjadi lebih besar.

“Mereka tidak memerlukannya jika dibandingkan dengan rakyat yang berpendapatan rendah jadi kita fokus kepada golongan yang berpendapatan rendah ini,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, buat ketika ini proses dan kaedah mekanisma pemberian subsidi bersasar tersebut masih berjalan memandangkan ada beberapa pendekatan yang perlu diambil kira dan ia akan diumumkan oleh MOF dalam masa terdekat.

Terdahulu, Alexander menyampaikan watikah pelantikan kepada 12 individu daripada 16 orang ahli MPPN yang diketuai oleh Aktivis Pengguna, Mohd. Azmi Abd. Hamid.

MPPN merupakan satu badan yang ditubuhkan pada tahun 2000 yang dianggotai oleh wakil daripada persatuan pengguna, industri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan bagi membincang dan menimbangkan isu-isu kepenggunaan terutamanya perkara-perkara yang termaktub di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI