PETALING JAYA – Seorang ibu sanggup berulang-alik kira-kira 50 kilometer (km) menempuh kesesakan lalu lintas waktu pagi setiap hari dari Hulu Langat, Selangor ke Brickfields, Kuala Lumpur semata-mata mahu memastikan anak sulungnya yang mempunyai masalah penglihatan mendapat pendidikan sama seperti kanak-kanak lain.
Pekerja swasta, Ummi Rahimah Abd. Raship, 35, berkata, ia berikutan tiada pusat sesuai berdekatan rumahnya bagi menghantar Muhammad Farhan Mikael Mohammad Juffri, 6.
Jadi dia serta suami, Mohammad Juffri Satiman, 43, membuat keputusan menghantar anak istimewa itu ke Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Brickfields setiap hari sejauh 50km dari di Hulu Langat ke ibu kota.
“Saya menghantar anak ke sana sejak dia berusia dua tahun atas saranan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Terdapat PDK di Hulu Langat tetapi hanya untuk kanak-kanak autisme dan sindrom Down, manakala anak saya hanya mengalami masalah penglihatan.
“Kalau ikutkan tidaklah jauh pun dari Hulu Langat ke Brickfields tetapi waktu pagi kebiasaannya sesak. Saya pula tinggal dan bekerja di Hulu Langat tetapi demi masa depannya, terpaksa juga saya menghantar anak ke sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menceritakan masalah penglihatan anaknya, ibu kepada dua anak itu berkata, dia dan suami menyedari Muhammad Farhan Mikael tidak dapat melihat sewaktu berusia empat bulan seterusnya membawanya berjumpa doktor.
“Apabila kami panggil, mata dia tak fokus dan seterusnya, kami bawa anak ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Ampang dan kemudian ke HKL. Di sana doktor memaklumkan anak mengalami kanser tahap empat dan kami terkejut sangat.
“Selepas pemeriksaan dilakukan rupanya anak saya mengalami masalah saraf mata tidak berkembang. Rupanya ia berkaitan genetik daripada bapa saya, jadi saya adalah pembawa,” katanya.
Ummi Rahimah berkata, dia bersyukur anak keduanya dilahirkan dalam keadaan sihat serta tidak mengalami masalah penglihatan sekali gus reda dan tabah dengan ujian tersebut.
“Sudah bermacam cara saya cuba termasuk rawatan tradisional, namun tidak berhasil. Kami reda dengan ketentuan ini dan dalam masa sama, saya juga berusaha untuk mempelajari tulisan braille.
“Jika kami keluar membawa anak, orang awam yang menemuinya selalu memberikan wang belanja. Itu biasa terjadi dan segan juga sebenarnya,” ujarnya.














