fbpx

Hina Nabi Muhammad SAW, 4 lelaki Nepal ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular di TikTok yang memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan ahli politik India menghina Nabi Muhammad SAW.

KUALA LUMPUR – Seramai empat lelaki warga Nepal ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes penularan rakaman video berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di sekitar kawasan Meru, Klang hari ini.

Tangkapan ke atas empat suspek berusia 26 dan 27 tahun itu telah dijalankan sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya mengesahkan penahanan empat lelaki berkenaan kerana disyaki terlibat dalam kes penularan video menerusi aplikasi TikTok.

“Video berkenaan memaparkan sekumpulan warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves dan menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hindu Samachar serta tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari parti Bharatiya Janata di India yang berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungking menyebabkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abd. Jalil, pihaknya turut merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan ketika penahanan keempat-empat suspek.

“Usaha mengesan suspek yang bebas masih diteruskan dan polis menggesa individu terbabit untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai pengetahuan mengenai kejadian diseru untuk menyalurkan maklumat kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Bukit Aman di talian 03-22666071,” jelasnya.

Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan, PDRM menjalankan siasatan berhubung video tular menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan ahli politik India menghina Nabi Muhammad SAW. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI