fbpx
Pertambahan jumlah FDI pada suku pertama telah memberi kesan positif dalam sektor pekerjaan sekali gus membantu meningkatkan perkembangan ekonomi negara. – Gambar hiasan

Malaysia rekod pelaburan diluluskan sebanyak RM42.8 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM42.8 bi­lion dalam sektor primer, per­khidmatan dan perkilangan daripada bulan Januari hingga Mac 2022 dengan melibatkan sebanyak 910 projek.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang terbesar dengan mewakili 65 pe­ratus atau RM27.8 bilion, manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang sebanyak 35 peratus kepada RM15 bi­lion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan yang diluluskan untuk tempoh berkenaan telah menawarkan peluang pekerjaan baharu sebanyak 24,906 di dalam negara.

“Dalam tempoh itu juga, sektor perkilangan kekal menjadi sektor utama memainkan peranan dalam proses pemulihan negara yang mewakili lebih daripada separuh (70.1 peratus) daripada jumlah pelaburan diluluskan iaitu RM30 bilion dan diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM12.7 bilion,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau menerangkan, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Jerman menguasai pelaburan asing dalam tempoh dari Januari hingga Mac 2022 dengan nilai RM8.9 bilion, Brunei sebanyak RM5.1 bilion dan Amerika Syarikat berjumlah RM3.9 billion diikuti oleh Hong Kong RM3.3 bilion.

Tambah Mohamed Azmin, untuk projek yang diluluskan dalam negara, lima negeri mencatat sejumlah besar iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Johor menyumbang sebanyak RM31.8 bilion (74.3 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

“Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pelabur antarabangsa dengan sektor perkilangan kekal berada pada kedudukan utama sebagai segmen teras dalam perkembangan ekonomi negara.

“Kami kini bangga kerana memiliki lebih daripada 5,000 syarikat dari lebih 40 negara yang telah menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama untuk operasi perkilangan serta perkhidmatan yang berkaitan dengannya,” jelas beliau. -KOSMO!ONLINE

POPULAR