fbpx
Aminuddin (empat dari kiri) menyerahkan replika kad debit kepada Pengetua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Wan Jamaludin Wan Bidin (empat dari kanan) di Kuala Lumpur.

700 pelajar bakal sertai Program Sifar Tunai Agrobank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Program Sifar Tunai anjuran Agrobank yang bertujuan untuk memupuk sikap menabung serta cermat dalam pengurusan transaksi tanpa tunai (cashless) dalam kalangan golongan muda adalah inisiatif sulung bank bekerjasama dengan koperasi sekolah.

Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon berkata, melalui program tersebut, Koperasi Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur Berhad telah dilantik sebagai ejen kepada bank dalam menyediakan perkhidmatan perbankan kepada komuniti sekolah.

Menerusi program tersebut, ibu bapa pelajar hanya perlu mendepositkan wang permulaan sebanyak RM50 ke dalam akaun pelajar yang juga telah disertakan dengan pakej perlindungan kemalangan diri di bawah produk Takaful Kasih Plus-i serta kad debit untuk pelajar.

“Kami mengunjurkan program ini akan disertai oleh 700 pelajar dan kakitangan sekolah selepas dilaksanakan secara menyeluruh yang dibuat secara berperingkat dengan menggunakan transaksi tanpa tunai seperti di kantin, kedai buku dan kelab guru bagi memudahkan pelbagai urus niaga antara pelajar dan pihak sekolah.

“Pelajar hanya perlu membawa kad debit mereka untuk membeli makanan di kantin sekolah atau pun membeli peralatan persekolahan dan buku-buku di koperasi yang akan dilakukan secara autodebit.

“Ini juga akan memudahkan ibu bapa mendepositkan wang saku kepada anak-anak mereka, sekali gus membantu mereka memantau perbelanjaan anak-anak kerana semua transaksi dan penggunaan wang dapat disemak secara dalam talian.

“Berurusan dalam talian juga meningkatkan disiplin menguruskan kewangan pelajar itu sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambah Aminuddin, sehingga kini, 100 pelajar telah membuka akaun deposit di bawah program ini, manakala baki pembukaan akaun bagi 600 orang pelajar dan kakitangan sekolah dijangka mula dilaksanakan bermula pertengahan Jun ini sehingga akhir tahun. -KOSMO!ONLINE

POPULAR