fbpx

SKMM digesa buat pemetaan, audit mutu perkhidmatan capaian internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar Musa.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa untuk melakukan pemetaan dan pelaporan audit yang jelas berhubung mutu perkhidmatan capaian internet di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, hasil dapatan daripada pemetaan dan pelaporan itu kemudiannya perlu dibandingkan dengan apa yang telah disediakan oleh syarikat telekomunikasi (telco).

“Saya hendak tengok SKMM buat pemetaan di seluruh negara, bukan ambil ‘laporan’ daripada telco, SKMM kena buat sendiri, kena buat pemetaan kemudian bandingkan kerana di luar sana rakyat masih mengeluh mengenai capaian internet.

“Masih ramai yang mengadu mengenai mutu perkhidmatan dan saya tahu di negara ini perkhidmatan tidak dibuat oleh kerajaan, kita beri kepada syarikat (telco), kita beri lesen. Kalau hendak kata syarikat itu daif, letih dan tidak boleh buat tetapi kita asyik dengar syarikat telco umum keuntungan paling banyak, untung itu datang dari mana.

“Saya bukan anti keuntungan, tidak mengapalah untung tapi tolong labur balik baiki masalah rakyat di kampung yang panjat pokok dan panjat gunung untuk dapat capaian Internet. Jadi saya hendak cari siapa untuk betulkan masalah rakyat maka saya hendak SKMM buat pemetaan dan audit prestasi tahap pencapaian kemudian bandingkan dengan apa yang telco buat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 K-KOMM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut meminta syarikat telco di negara ini untuk melabur semula dan menaik taraf peralatan di menara telekomunikasi sedia ada dengan tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Menurut beliau, syarikat telco juga perlu lebih serius dalam memenuhi keperluan pengguna selain bersama-sama membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Di sesetengah tempat selain daripada membina pencawang baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah dengan menaik taraf menara sedia ada dan ia boleh dilakukan secara lebih agresif oleh syarikat telco.

“Jadi kalau ada sikap lebih terbuka, syarikat telco boleh berkongsi maka lebih banyak kawasan akan mendapat liputan daripada kesemua penyedia perkhidmatan tetapi ini memerlukan komitmen mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Annuar berkata, rundingan perjanjian perkhidmatan antara syarikat telco dengan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara masih lagi berjalan sehingga penghujung bulan ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI