fbpx

PBB tuntut jawapan dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta pameran mempamerkan pokok ganja dalam acara Thailand 420: Legalaew! di wilayah Nakhon Pathom pada 11 Jun lalu. – AFP

BANGKOK – Kerajaan Thailand perlu mengemukakan alasan kukuh kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  berhubung  tindakannya menggugurkan tumbuhan ganja daripada  senarai bahan narkotik, lapor akhbar Bangkok Post kelmarin.

Penasihat Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), Viroj Sumyai berkata, PBB juga akan meneliti draf undang-undang berkaitan ganja yang digariskan oleh Thailand.

Sekiranya,  ia didapati melanggar Konvensyen 1961 mengenai  narkotik, Thailand perlu memperbetulkan keadaan tersebut dan membuat laporan semula.

“Jika langkah-langkah ini  tidak dilaksanakan, INCB akan mendapatkan resolusi daripada Perhimpunan Agung PBB. 

“Sekiranya didapati kawasan penanaman ganja di Thailand boleh membawa kepada kegiatan perdagangan haram narkotik, PBB akan mengumumkan perkara tersebut  di hadapan Majlis Ekonomi dan Sosial. 

“Seluruh dunia akan dimaklumkan menerusi laporan tahunan bahawa Thailand telah melanggar perjanjian narkotik antarabangsa,” jelas Viroj.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang menggugurkan  tanaman ganja daripada  senarai narkotik Kategori 5 susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Awam seperti yang dilaporkan akhbar Royal Gazette.

Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) dalam pada itu turut mengakui bahawa terdapat kebimbangan mengenai kesan buruk akibat dasar tersebut. Thailand merupakan salah sebuah negara yang memeterai perjanjian berkaitan narkotik pada 1961.

Di bawah perjanjian itu, ganja diklasifikasikan sebagai  bahan terlarang, namun penggunaannya dibenarkan bagi tujuan perubatan dan berada di bawah pengawasan pihak berkuasa.

Meskipun dasar membenarkan penggunaan ganja  adalah untuk tujuan perubatan dan kajian, rang undang-undang mengenainya masih belum diluluskan.

“Disebabkan rang undang-undang itu masih belum diluluskan, Kementerian Luar Thai bimbang kerana ia perlu menjelaskan perkara itu kepada INCB dan negara-negara Asia Tenggara lain.

“Terdapat juga persoalan berbangkit mengenai bagaimana untuk menghalang kemasukan ganja dari Thailand ke negara-negara  jirannya  serta impak daripada dasar tersebut,” kata NCB.

Bermula Khamis lalu, rakyat Thailand dibenarkan menanam pokok ganja di rumah mereka, manakala  lebih 564,000 individu telah mendaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat bagi menanam tumbuhan itu.

Tidak lama lagi, Jabatan Pertanian akan mula mengedarkan kira-kira sejuta pokok ganja kepada 500,000 isi rumah yang berminat bagi menggalakkan penanaman ganja dalam kalangan rakyatnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI