fbpx

Ibu syak anak OKU dirogol jiran semasa keluar bersiar-siar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran dipercayai dirogol seorang pemandu lori yang juga jirannya selepas mereka keluar bersiar-siar dengan menaiki sebuah motosikal kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, berdasarkan keterangan ibu mangsa, pelajar tingkatan tiga itu dipercayai keluar bersama lelaki tersebut sebelum dia pulang ke rumah kira-kira pukul 7.50 malam.

Menurutnya, wanita itu mengesyaki anaknya telah dirogol suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an di rumah sewanya di daerah ini.

“Siasatan mendapati, mangsa berusia 15 tahun dan merupakan seorang OKU kategori masalah pembelajaran selain pelajar di sebuah sekolah menengah di sini.

“Susulan laporan itu, mangsa telah dibawa ke hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, polis telah menahan suspek di rumah sewanya kira-kira pukul 8.30 malam semalam.

Katanya, semakan mendapati, suspek yang masih bujang mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kes jenayah dan dadah selain positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, suspek direman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI