fbpx

Gadis Kampus: Nur Lailatullahawiyah impi jadi jurulatih bola jaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN sibuk dengan latihan bola jaring, Nur Lailatulladhawiyah bijak membahagikan masa agar kedua-duanya berjalan seiring.

KESIBUKAN tugas sebagai mahasiswa di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak menghalang gadis berusia 25 tahun itu terlibat secara aktif dalam sukan bola jaring.

Nur Lailatulladhawiyah Che Yahaya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan mampu bersaing secara kompetitif sehingga terpilih mewakili negeri dan negara.

Kejayaan itu didorong kebijaksanaan gadis berasal dari Jempol, Negeri Sembilan itu membahagikan masa antara pelajaran dengan latihan pada setiap hari.

Dia memaklumkan, sesi pembelajaran secara online membantu memudahkannya membahagikan masa kerana tidak perlu terkejar-kejar dari satu tempat ke satu tempat lain.

“Meskipun pandemik Covid-19 sudah berakhir, tetapi masih ramai pensyarah mengadakan kelas secara online. Ini membolehkan saya mengikuti kelas di mana-mana sahaja.

“Misalnya, saya kini berada di Seremban mengikuti latihan, jadi tidak perlu pulang ke ibu kota untuk menghadiri kelas. Ia sangat membantu saya membahagikan masa,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Ketika ini, gadis berketinggian 166 sentimeter itu bersaing dalam kejohanan Sooka Netball Super League (NSL) mewakili pasukan Negeri Sembilan Venom.

Jelasnya, pasukan tidak meletakkan harapan tinggi pada kejohanan NSL kali ini memandangkan banyak pesaing lebih bagus, jadi dia ingin menumpukan kepada peningkatan prestasi permainan.

“Kami berharap pasukan tidak berada pada kedudukan dua tercorot pada NSL tahun ini bagi mengelak penyingkiran. Kami sedar banyak pasukan-pasukan lebih baik dalam liga.

“Begitupun, NSL merupakan pentas terbaik kepada saya untuk meningkatkan prestasi permainan sebagai persiapan andai dipanggil mewakili negara selepas ini,” terangnya.

 

Mengimbas kembali minatnya dalam arena bola jaring, Nur Lailatulladhawiyah berkata, ia bermula sejak kanak-kanak selepas terpilih mewakili sekolah.

GADIS manis ini berhasrat untuk mewakili negara dalam sukan bola jaring satu hari nanti.

Jelasnya, dia kemudian ditempatkan di sekolah sukan Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba bagi mengembangkan lagi bakatnya dalam arena bola jaring.

“Ketika di sekolah sukan, saya sering bermain mewakili negeri ke pertandingan kebangsaan. Saya juga pernah mewakili negeri untuk ke Sukan Malaysia.

“Pada usia 17 tahun, saya dipanggil mewakili pasukan muda kebangsaan. Selepas setahun, saya terpilih pula mewakili pasukan kebangsaan ke Kejohanan Bola Jaring Asia,” jelasnya.

Pada pertengahan 2018, Nur Lailatulladhawiyah terpaksa melalui detik sukar selepas lutut kirinya mengalami masalah kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Kecederaan tersebut menyebabkan dia terpaksa berehat panjang, sekali gus memusnahkan impian Nur Lailatulladhawiyah membantu negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019.

“Selepas pulih daripada ACL pada 2021, saya kembali bergiat aktif bermain bola jaring. Hal ini kerana saya masih terus ingin membantu negara terutamanya memenangi pingat pada Sukan SEA.

“Saya sangat berharap pada Sukan SEA akan datang saya terpilih. Sekurang-kurangnya apabila bersara nanti ada juga sumbangan saya kepada negara,” ujarnya pemain posisi pertahanan itu.

Selain bola jaring, anak keempat daripada lima beradik tersebut juga aktif dalam frisbee sehingga berjaya mewakili pasukannya bersaing pada kejohanan antarabangsa.

Penglibatan Nur Lailatulladhawiyah dalam frisbee lebih kepada untuk mengekalkan stamina serta memastikan ketangkasan kaki dan tangannya berada pada tahap maksimum.

“Saya main suka-suka sahaja, tetapi tidak sangat pula boleh mewakili pasukan. Banyak kejohanan frisbee saya masuk hingga ke peringkat antarabangsa.

“Sukan ini memerlukan modal besar. Disebabkan itu, saya lebih menumpukan perhatian pada bola jaring dan menjadikan frisbee sebagai sukan nombor dua,” terangnya lagi.

Bercerita mengenai masa depan, Nur Lailatulladhawiyah berkata, dia berharap dapat melangkah ke alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian di UniKL.

Katanya, dia juga tidak menolak kemungkinan untuk berkhidmat sebagai jurulatih bola jaring Negeri Sembilan sekiranya diberi peluang.

“Persatuan ada minta saya ambil lesen kejurulatihan selepas ini.

“Mereka ingin saya menjadi seorang jurulatih dan melatih pemain-pemain muda,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI