fbpx
MPV jenis Toyota Vellfire yang membawa seramai 23 PATI Myanmar ditahan di Batu 11, Jalan Jeli-Tanah Merah dekat Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN POLIS

18 kilometer kejar Vellfire sarat 23 PATI Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Cubaan seorang tekong darat untuk menyeludup seramai 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk lima wanita gagal apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka ditahan di Batu 11, Jalan Jeli-Tanah Merah di sini semalam.

Tangkapan terhadap kesemua warga asing itu dijalankan anggota polis kira-kira pukul 9.30 malam selepas mengekori MPV jenis Toyota Vellfire yang dipandu lelaki berusia 57 tahun sejauh 18 kilometer.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, anggota polis melihat MPV berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan sebuah pasar raya di Bukit Bunga di sini semasa melakukan tugas rondaan.

Menurutnya, anggota polis telah menyalakan lampu dan membunyikan siren, namun pemandu MPV itu telah bertindak memecut laju kenderaan dipandunya.

“Selepas 18 kilometer mengejar, pemandu kenderaan itu akhirnya berhenti sebelum keluar dan cuba melarikan diri. Tekong darat itu bagaimanapun berjaya ditangkap di kawasan semak berhampiran.

“Pemeriksaan di dalam MPV itu telah membawa kepada penemuan seramai 23 PATI warga Myanmar yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Zulfikri, siasatan mendapati, tekong darat yang mempunyai 19 rekod jenayah lampau berkait kes jenayah dan dadah menerima upah sebanyak RM300 untuk setiap seorang PATI yang dibawanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI