fbpx

Pengguna, pengusaha kenderaan mikromobiliti dinasihatkan patuh peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BKJR melakukan advokasi kepada pengguna mikromobiliti di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 11 dan 12 Jun 2022.

PETALING JAYA – Pengusaha dan pengguna kenderaan mikromobiliti dinasihatkan untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Susulan daripada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Bahagian Keselamatan Jalan Raya (BKJR) telah melaksanakan tindakan secara advokasi dan nasihat kepada orang ramai mengenai kenderaan itu di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 11 dan 12 Jun 2022.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, ia selaras dengan Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikrombiliti Tertentu 2021) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

“Secara amnya, kenderaan mikromobiliti dalam kategori Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaanya di atas jalan atau mana-mana bahagian jalan, termasuk di lintasan pejalan kaki.

“Pengguna mikromobiliti di kawasan terlibat dinasihatkan agar tidak menggunakan kenderaan berkenaan di jalan-jalan raya sebaliknya tiada halangan penggunaannya di kawasan yang dibenarkan seperti kawasan rekreasi. Ia bagi mengelakkan serta mengurangkan risiko daripada berlakunya kemalangan di jalan raya,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu katanya, JPJ menasihatkan semua pengusaha dan pengguna kenderaan mikromobiliti untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Kenderaan mikromobiliti adalah kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI