fbpx

RTB Taman Iping mampu kurangkan risiko banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (empat dari kanan) ketika merasmikan rumah pam untuk RTB Taman Iping di Batu Maung, hari ini.

GEORGE TOWN – Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Iping di Batu Maung di sini yang sudah siap sepenuhnya dijangka mampu menyelamatkan sehingga 2,000 penduduk yang berada di kawasan Lembangan Sungai Nipah daripada bencana banjir.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, RTB itu merupakan inisiatif kerajaan Pulau Pinang dalam mengurangkan risiko banjir di Lembangan Sungai Nipah di sini.

“RTB ini mempunyai dua buah rumah pam dengan kapasiti masing-masing enam dan tujuh meter padu sesaat.

“Projek bernilai RM16.5 juta itu direkabentuk pada tahap perlindungan 20 kala purata ulangan (ARI) dapat mengurangkan risiko banjir kepada penduduk setempat, kawasan komersial dan kawasan industri,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Pam Taman Iping di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, walaupun kerja-kerja pembinaan projek ini terganggu akibat pandemik Covid-19, namun pencapaian pada hari ini harus dilihat dari segi ruang lingkup yang luas.

”Kawasan Lembangan Sungai Nipah ini berkeluasan 3.2 kilometer persegi dan dengan siapnya RTB Taman Iping ini, ia diharapkan dapat mengelakkan penduduk di sekitar Lembangan Sungai Nipah ini daripada risiko banjir.

“Kerajaan negeri gembira dengan kemajuan yang dicapai hasil komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus dalam memastikan projek tebatan banjir berimpak tinggi ini berjaya direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri melalui agensi pelaksana, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah menyiapkan empat buah projek daripada keseluruhan lapan projek.

“Empat projek yang telah siap ini adalah RTB Parit 4, RTB Parit 5, RTB Mak Mandin dan terkini RTB Taman Iping,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI