fbpx

Salon rambut tular pendandan seksi dikompaun MBSJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular memaparkan wanita mendandan rambut pelanggan lelaki dalam keadaan seksi di sebuah salon di Bandar Puteri Puchong, yang tular di media sosial, sejak kelmarin

PUCHONG – Gara-gara beroperasi tanpa lesen, sebuah salon di Bandar Puteri Puchong yang tular selepas didakwa menyediakan khidmat pendandan rambut wanita yang seksi dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pemeriksaan telah dilakukan oleh tiga anggota penguatkuasa MBSJ serta empat anggota polis di premis berkenaan pada hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis itu menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mempunyai lesen yang sah daripada MBSJ.

“Justeru itu, MBSJ mengeluarkan dua notis tawaran kompaun (NTK) di bawah UUK 3: Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan (MPSJ) 2013 atas kesalahan mengendalikan pusat kecantikan dan kesihatan tanpa lesen serta dua UUK 7: Undang-Undang Kecil Iklan (MPSJ) 2007 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau premis yang didapati melanggar peraturan dan syarat-syarat ditetapkan.

Kelmarin, beberapa gambar tular di media sosial memaparkan beberapa wanita berpakaian mencolok mata sedang mendandan rambut pelanggan lelaki di sebuah salon di Bandar Puteri Puchong, dekat sini.

Sementara itu, pemilik salon menerusi hantaran di laman Facebook mendakwa premisnya merupakan salon biasa.

Pemilik turut meminta orang ramai berhenti menyebarkan gambar wanita berkenaan termasuk dakwaannya salonnya menyediakan perkhidmatan istimewa.

Hantaran berkenaan turut disertakan dengan laporan polis yang menyatakan bahawa gambar wanita seksi itu diambil ketika pembukaan premis bagi tujuan promosi dan bukannya kedai urut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI