fbpx

Sewa Vellfire RM500 angkut dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jefferi (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas polis pada sidang akhbar hari ini.

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket dadah menggunakan kenderaan sewa jenis Toyota Vellfire terbongkar selepas dicekup di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bangsar, di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu pada 31 Mei lalu, menahan tiga individu berusia 29 hingga 49 tahun yang disyaki bertindak sebagai transporter dadah.

Turut dirampas 145 bungkusan ketulan mampat ganja gred tinggi seberat 142.1 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM355,250.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, penangkapan itu hasil kerjasama pihaknya bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terhadap aktiviti pengedaran sindiket yang telah beroperasi lebih empat bulan.

Katanya, sindiket ini dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran di utara Semenanjung untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Semasa tangkapan, proses pergedaran telah selesai antara kesemua transporter tersebut.

“Kesemua dadah jenis gred tinggi seberat 142.1 kg dirampas dalam sebuah kereta jenis Proton Preve. Sekiranya terlepas, dadah itu boleh digunakan kepada 142,100 penagih,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kosmo! difahamkan dadah-dadah itu terdahulunya dibawa seorang transporter menerusi kenderaan jenis Toyota Vellfire yang disewanya pada kadar RM500 sehari.

Sekilogram dadah gred tersebut mampu mencecah RM4,000.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas tiga kenderaan Preve, Vellfire dan Proton Iswara dianggarkan bernilai RM138,000 yang digunakan bagi sindiket pengedaran berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati upah diterima bagi seorang transporter adalah sebanyak RM2,500.

“Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Dua daripada mereka juga didapati positif methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC),” ujarnya.

Ahmad Jefferi menambah, usaha mengesan dalang sindiket masih giat dilakukan pihaknya.

“Ketiga-tiga suspek direman sehingga hari ini dan kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini juga untuk tindakan seterusnya. Jika dapat arahan tuduh esok, kita akan dakwa di mahkamah

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI