fbpx

Bukan masa Harimau Malaya terbuai dua kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
COOLS (kanan) berharap dua kemenangan diraih pada aksi persahabatan melonjakkan motivasi Harimau Malaya dan bukannya membuatkan mereka terleka. – FB FAM

PEMAIN pertahanan negara, Dion Cools mengingatkan rakan sepasukannya supaya kekal dahagakan kejayaan dan tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangan ke atas Brunei dan Hong Kong dalam aksi persahabatan sebelum ini.

Bintang kelab Zulte Waregem itu menegaskan dua kemena­ngan ke atas Brunei dan Hong Kong adalah permulaan baik kepada persiapan pasukan, namun ia tidak akan memberi makna sekiranya pemain gagal mengekalkan prestasi terbaik.

Cools juga merasakan setiap pemain perlu kekal fokus untuk hadapi tugasan lebih penting yang sedang menanti Harimau Malaya di Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu ini.

“Sudah pasti apabila berjaya mendapatkan kemena­ngan (dalam aksi persahabatan) ia akan menjadi sesuatu yang cukup bagus untuk kami. Namun, jurulatih sentiasa beritahu kepada kami, aksi dengan Brunei dan Hong Kong bukanlah perhitungan sebenar.

“Perlawanan selepas ini adalah penentu sebenar dan kami perlu berikan 100 peratus. Kami perlu pamerkan aksi sehabis baik untuk dapatkan keputusan positif buat pasukan,” katanya yang menyambut ulang tahun ke-26, kelmarin.

Bagi persiapan kali ini, Cools juga gembira kerana dapat menyertai pasukan mengikut jadual asal dan kehadirannya jelas menjadi aset penting buat Harimau Malaya untuk merealisasikan misi ke Piala Asia tahun depan.

Walaupun lebih selesa ber­aksi di posisi pertahanan kanan, Cools sedia menggunakan pengalamannya di pentas Eropah untuk diletakkan di mana-mana bahagian, namun enggan terlalu mendesak diri sendiri hingga berlakunya kesilapan mudah.

“Saya boleh bermain di ba­nyak posisi termasuk di bahagian tengah. Di kelab sebelum ini juga saya pernah bermain di tengah dan saya harap semuanya akan menjadi lebih baik.

“Saya juga tidak mahu ber­ulangnya perkara sama seperti sebelum ini. Apa yang jadi dalam penampilan lalu akan jadi pengajaran berharga buat saya untuk tampil lebih baik pada aksi kali ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI