PETALING JAYA – Lambakan agensi dan aplikasi carian jodoh dalam talian mampu membantu wanita terutama golongan andartu untuk bertemu pasangan hidup, namun malangnya ia juga dikesan menjadi sarang penipuan lelaki mata duitan.
Kebanyakan wanita seakan-akan terpukau dengan janji-janji manis yang ditabur si lelaki yang kononnya mahu menjadi imam mereka sehingga ada mangsa yang sanggup berhabis wang demi cinta online.
Seorang wanita dikenali sebagai Rozaidah yang berusia hampir 40 tahun berkata, dia antara wanita malang yang menjadi mangsa scammer ‘bakal suami’ yang dikenali melalui satu agensi cari jodoh secara online.
Katanya, dia yang bekerja di sebuah bank telah mencari jodoh melalui agensi setelah gagal menemui cinta sejati secara bersua muka atau melalui perkenalan.
“Niat saya hanya untuk mencari seorang teman hidup yang dapat menjaga saya.
“Saya telah berkenalan dengan seorang lelaki berusia 37 tahun yang kononnya pengurus syarikat melalui agensi itu.
“Pada awal perkenalan kami, lelaki itu kelihatan sangat baik, bersopan santun dan pandai mengambil hati,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Rozaidah memberitahu, setelah menjalinkan hubungan hampir tiga bulan, mereka kemudian mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Katanya, dia kesal apabila menyerahkan sepenuhnya urusan perkahwinan itu kepada ‘bakal suaminya’ kerana terlalu mempercayai lelaki terbabit.
“Saya telah beri wang sebanyak RM20,000 kepada lelaki itu untuk diserahkan kepada pihak perancang perkahwinan kami.
“Saya sangka segala urusan telah selesai, namun pihak perancang perkahwinan tersebut mendakwa mereka tidak menerima sebarang bayaran daripada bakal suami saya,” ujarnya.
Rozaidah berkata, dia kemudian cuba menghubungi lelaki itu untuk bertemu dan berbincang masalah yang dihadapi itu, namun panggilan tidak dijawab.
“Bukan sekali saya cuba menghubunginya, tetapi berulang kali. Saya cari dia di lokasi yang saya tahu, namun gagal.
“Saya akhirnya membuat laporan polis kerana merasakan diri ini sudah menjadi mangsa penipuan.
“Saya terkilan kerana duit RM20,000 yang lesap itu merupakan wang simpanan saya yang dikumpul setelah penat bekerja selama hampir 15 tahun,” ujarnya.
Seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Salmy, 42, pula memberitahu, dia sudah serik untuk berkenalan dengan lelaki terutama orang muda melalui aplikasi carian jodoh dalam talian.
Katanya, dia sering menjadi mangsa penipuan kerana kebanyakan lelaki yang mahu berkenalan dengannya hanya mahukan duit.
“Kebanyakan lelaki yang pernah mengajak saya keluar makan, mereka langsung tidak mahu membayar bil makanan itu, sebaliknya saya pula yang membayarnya. Kalau sekali dua itu tidak mengapa, tetapi terlalu kerap.
“Malah, ada lelaki yang baru saya kenal langsung tidak tahu malu dengan meminta saya membuat pinjaman peribadi daripada bank untuk dirinya sedangkan ketika itu perkenalan kami masih terlalu awal,” katanya.
Salmy berkata, lelaki mata duitan seperti itu bijak dan licik apabila hanya memilih wanita yang berjawatan tinggi dan mempunyai pendapatan besar untuk menjadi kekasih.
“Mereka tidak kisah paras rupa atau umur kita kerana lelaki seperti ini hanya mahukan duit wanita,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














