fbpx

Amy Nur Tinie pasrah kisah silam dikorek netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMY NJR TINIE

SAAT membulatkan hatinya terjun ke dunia lakonan sekitar dua tahun lalu, pelakon baharu Amy Nur Tinie sudah bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk kisah silamnya diselongkar netizen.

Amy Nur Tinie atau nama sebenarnya, Amy Nur Tinie Abdul Aziz, 26, yang pernah aktif di pentas ratu cantik mengakui, sebelum ini dia berpakaian agak seksi, bagaimanapun itu adalah perkara yang sudah lama berlalu.

“Minda saya telah bertukar apabila masuk dalam dunia lakonan, sebab saya tahu pasti akan ada kecaman. Malah, kisah silam ketika zaman aktif dalam pertandingan ratu cantik dan berpakaian agak seksi juga dikorek netizen.

“Sejujurnya, saya tidak kisah apa orang hendak kata kerana itu adalah masa silam yang tidak boleh diubah. Janji, saya buat kerja dengan baik, produksi dan pengarah berpuas hati itu sudah memadai buat saya,” ujar Nur Tinie.

AMY NUR TINIE sering disangka sebagai pelakon Puteri Aishah dek paras rupa dikatakan seiras.

Pelakon yang memulakan karier lakonan dengan filem 10 Tips Tipu Bini itu juga bersikap terbuka apabila sering disalah anggap sebagai pelakon popular, Puteri Aishah kerana memiliki wajah yang hampir seiras.

Jelasnya yang juga seorang pengacara, bukan sekali dua, tetapi sudah banyak kali orang ramai menganggapnya sebagai Puteri Aishah.

Berkongsi momen lucu yang dialaminya, pernah ada peminat beria-ria bergambar dengannya kerana menyangka dia Puteri Aishah.

“Memang begitu ramai orang mengatakan wajah kami hampir seiras dan ada kejadian ketika saya berada di luar seorang peminat ini mahu bergambar.

“Dalam hati saya agak terkejut kerana saya pelakon baharu, bagaimana pula sudah apa peminat?

“Selepas bergambar tiba-tiba peminat itu mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu.

“Malah, siap tanya mana suami? Terus saya kata ini salah orang, saya bukan Puteri Aishah. Mesti peminat itu menyesal bergambar dengan saya,” katanya dalam tawa.

Sebelum Puteri Aishah, Amy Nur Tinie juga sering dikatakan hampir seiras dengan pelakon terkenal, Rozita Che Wan.

“Dahulu, selepas saya pakai bulu mata palsu, orang akan kata saya kelihatan hampir sama dengan Che Ta. Masa itu masih baru sangat dalam industri seni, jadi saya rasa seronok apabila orang samakan saya dengan pelakon lain.

PERNAH aktif dengan pertandingan ratu cantik, Amy kini tidak lagi berpakaian seksi demi menjaga sensitiviti khalayak.

“Sekarang, apabila orang sering menganggap saya sebagai Puteri Aishah, ada juga rasa sedih dan terfikir sampai bila saya akan terus dibayangi Puteri Aishah.

“Namun, saya ambil positif, mungkin selepas lebih dikenali orang ramai akan dapatkan bezakan antara saya dan Puteri Aishah,” ujar Amy Nur Tinie yang ditemui di set penggambaran filem Jemputan Ke Neraka terbitan An Universal, baru-baru ini.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam filem arahan Amor Rizan itu, dia pada mulanya agak terkejut menerima tawaran menjayakan karya psiko thriller tersebut.

“Saya masih baru, pengalaman lakonan pun tidaklah banyak, jadi apabila menerima skrip filem Jemputan Ke Neraka, saya tahu filem ini memang berat.

“Dalam hati saya mampukah saya bawakan watak dengan baik bimbang nanti dipanggil kayu. Berlakon pula dengan pelakon-pelakon hebat seperti Janna Nick dan Sharifah Sakinah, terus terang saya agak bimbang.

“Alhamdulillah, semasa di lokasi penggambaran, mereka semua buat kami pelakon baru rasa selesa dan seperti sudah berkawan lama.

“Automatik keserasian itu timbul dan saya mula yakin untuk memberikan lakonan terbaik,” ujar Amy Nur Tinie.

Selain Amy Nur Tinie, filem Jemputan Ke Neraka itu turut dibintangi oleh Sharifah Sakinah, Janna Nick, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Aleza Shadan dan Azhar Amir.

AMY (kanan sekali) bersama pengarah Amor Rizan (dua dari kanan), para pelakon terlibat dalam filem Jemputan Ke Neraka, Sharifah Sakinah dan Jasper Supayah (kiri sekali).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI