fbpx

Terhindarkah kita daripada monkeypox?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyakit mokeypox dikesan dan sedang merebak di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan kini Afrika.
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

BELUM reda dengan wabak maut tidak diundang Covid-19, dunia sekali lagi digemparkan dengan kehadiran penyakit cacar mo­nyet (monkeypox).

Dengar nama memang agak kelakar tetapi ia tetap dikategorikan sebagai penyakit.

Dikatakan, penyakit ini dikesan dan sedang merebak di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan kini Afrika.

Berita baiknya ia belum sampai ke Malaysia seperti yang tular beberapa hari lalu.

Walaupun dikatakan penularan penyakit tersebut tidaklah bahaya dan sepantas Covid-19, tetapi langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil kira.

Memetik kenyataan Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Wan Mohd. Zahiruddin Wan Mohammad, risiko jangkitan kepada orang awam dan menular menjadi wabak seperti Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut atau lain-lain adalah sangat rendah kerana secara umumnya cacar monyet tidak mudah merebak.

Katanya, gejala dan tanda jangkitan monkeypox biasanya mirip seperti penyakit cacar air iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian merebak ke bahagian tubuh termasuk tapak tangan dan tapak kaki.

“Pesakit juga mungkin ­me­ng­­alami lenguh badan, sakit belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan ke­lenjar limfa.

“Tempoh inku­basi biasanya antara enam hingga 13 hari tetapi boleh berjulat dari lima hingga 21 hari dan pesakit akan mengalami gejala selama dua hingga empat ming­gu,” katanya.

Tambah Wan Mohd. Zahiruddin, kadar kematian di negara yang dibadai monkeypox juga rendah, dianggarkan tiga hingga enam peratus sahaja.

“Pun begitu, kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap imunisasi rendah mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh membawa maut sekiranya dijangkiti monkeypox.

“Elakkan sentuhan langsung dengan luka mereka yang dijangkiti monkeypox sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh pembawa virus se­perti pakaian kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti,” tegasnya.

Senada dengan Wan Mohd. Zahiruddin ialah Pensyarah Ana­tomi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Amira Raudhah yang menyifatkan langkah berjaga-jaga perlu diambil setiap lapisan masyarakat dalam usaha membendung penyakit tersebut daripada terus menular.

“Waima sehingga kini masih tiada laporan kes dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)membabitkan penularan wabak monkeypox di negara ini, namun ia tetap menimbulkan keresahan banyak pi­hak.

“Sama juga seperti Covid-19, sampai sekarang pun kita sudah terbiasa dan terdidik dengan amalan mematuhi prosedur operasi standard.

“Justeru, begitu juga dengan soal monkeypox ini, apapun langkah berjaga-jaga tetap perlu diberi keutamaan semua selain tindakan proaktif pihak berwajib dalam membendung penularan wabak ini,” ujarnya.

Kelmarin, KKM dalam satu kenyataan tidak bercadang menutup pintu sempadan negara meskipun terdapat kes jangkitan cacar monyet.

KKM juga berkata, kerajaan telah mengetatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk negara terutama bagi pengembara dari negara yang mempunyai kes penyakit cacar monyet.

Menurutnya, langkah itu adalah untuk memastikan penyakit tersebut dapat dibendung daripada memasuki Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI