fbpx
NASKHAH Stranger Things 4 kini boleh disaksikan menerusi Netflix.

Stranger Things rungkai ‘puaka’ bandar Hawkins

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADALAH menjadi satu perihal yang tidak adil jika tiada sedikit ulasan tentang musim baharu siri ditunggu-tunggu ramai, Stranger Things 4 yang baru sahaja diluncurkan menerusi platform Netflix minggu lalu.

Sebagai peminat tegar siri itu, penulis berani menyifatkan kali ini, The Duffer Brothers benar-benar tidak mengecewakan. Jika pendukung siri berkenaan mahukan 10 tetapi dua pengarah adik-beradik itu berikan 11!

Kalau peminat mahukan musim kali ini lebih menyeramkan, darker, menderaskan adrenalin dan bernada positif dari segi kualiti, Stranger Things 4 ada segala kunci untuk semua elemen yang disebutkan.

WATAK baharu, Eddie Munson (lakonan Joseph Quinn) antara yang mencuri tumpuan musim baharu kali ini.

Dari segi naratif, segala persoalan yang terbuku dalam jiwa dan fikiran penonton sedari musim pertama akan mula terurai satu per satu.
Bandar Hawkins

Mengapa bandar Hawkins sentiasa ditimpa malapetaka dan dirundung malang, musim kali ini peminat akan mula nampak puncanya. Mengapa The Mind Flayer, Demogorgon dan terbaharu, Vecna sangat ‘berminat’ dengan Eleven atau Jane Hopper (lakonan Millie Bobby Brown), semuanya akan mula dirungkai lebih mendalam musim ini.

Pertama kalinya, Stranger Things 4 (Volume 1) tidak keterlaluan dikategorikan antara buah tangan paling berkualiti The Duffer Brothers dari pelbagai sudut. Dari segi penceritaan, pusingan plot (plot twist), terjemahan karakter, aspek teknikal seperti sinematografi dan efek bunyi, semuanya serba-serbi cemerlang!

Buat mereka yang sudah menonton, barangkali tahu apa yang terjadi terhadap bandar Hawkins, bagaimana wujudnya versi upside down bandar puaka tersebut, siapa dan apa musuh dalam lipatan Eleven serta banyak perihal lain yang dikupas.

Secara peribadi, sebenarnya sudah dapat mengagak siapa sebenarnya 001 dan apa hubung kait dengan Eleven atau 011. Tetapi akhirnya, tidak pernah terjangka bahawa orang yang sama berperanan sebagai seorang lagi villain.

HOPPER yang disangka sudah mati sebenarnya masih hidup di sebuah penjara bernama Kamchatka, Rusia.

Genius, Jamie Campbell Bower!

Tidak mahu memberi spoiler tetapi betapa The Duffer Brothers terus membuktikan mereka adalah penulis dan pengarah bertaraf genius.

Hebat bermain dengan emosi, teka-teki dan tahap pemikiran audiens.

Ada banyak babak yang memberi magis luar biasa antaranya Hopper di penjara Kamchatka, Eleven di makmal dan perungkaian misteri melihatkan rakan-rakannya di bandar Hawkins.

Termasuk aksi rakan-rakan Eleven berbasikal di bandar Hawkins sebenar dan versi upside down. Genius!

Juga melibatkan Hopper dan kawannya dari Rusia di penjara termasuk babak ‘merinding’ antara 011 dan 001.

Penambahan karakter musim kali ini terutama melibatkan Jamie Campbell Bower paling menonjol kerana benar-benar membuatkan audiens ‘tertipu’.

Kalau boleh diberikan markah per 100, tidak keterlaluan jika mengatakan Stranger Things 4 layak memungut markah sempurna atau penuh.

ELEVEN dan rakan-rakannya kembali bergabung demi melawan kuasa jahat penuh mistik dan sihir bernama Vecna.

POPULAR