fbpx

Keenakan Abe’s Nasi Kukus di TTDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NAJHAN bersyukur kerana perniagaannya mendapat maklum balas positif daripada para pelanggan.

AROMA ayam goreng berempah di dalam kuali besar itu berjaya menarik perhatian orang yang lalulalang di sekitar Jalan Mohd. Fuad 3, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Belum pun ayam goreng tersebut masak sepenuhnya, beberapa pelanggan sudah berbaris panjang di hadapan trak makanan Abe’s Nasi Kukus yang berada di tepi jalan itu.

Ayam goreng berempah yang masih panas sentiasa menjadi rebutan para pelanggan di trak makanan berkenaan untuk dinikmati bersama nasi kukus.

Pemilik Abe’s Nasi Kukus, Mohd. Najhan Zulkifli berkata, trak makanannya sentiasa menjadi tumpuan
mereka yang tinggal atau bekerja di kawasan sekitar TTDI.

“Saya telah berniaga nasi kukus di kawasan ini sejak 2013. Bermula 2019, saya beralih daripada konsep
gerai kepada trak makanan yang memudahkan pergerakan.

“Menu utama dan paling laris di sini adalah nasi kukus ayam berempah yang cukup popular di negeri kelahiran saya, Kelantan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Lelaki berusia 42 tahun itu memaklumkan, nasi kukus ayam berempah yang ditawarkan di trak
makanannya berbeza dengan hidangan tersebut yang dijual di tempat lain.

Katanya, kelainan tersebut terletak pada ayam goreng berempahnya yang disajikan menggunakan 100 peratus rempah-ratus yang dibawa khas dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

“Ayam berempah ini saya masak menggunakan rempah-ratus khas dari Kelantan. Jadi, bau dan rasanya sangat berbeza. Kami hanya menawarkan ayam bahagian whole leg kepada pelanggan,” terangnya.

Selain ayam goreng berempah, pelanggan boleh memilih menu lain untuk dijamah bersama nasi kukus
iaitu ayam percik bakar, ayam bakar Chiangmai, daging kicap Zimbabwe, ayam masak merah dan daging kerutuk.

HIDANGAN nasi kukus ayam berempah menggunakan rempah-ratus istimewa.

Ujarnya, hidangan nasi kukus di trak makanan berkenaan didatangkan bersama kuah gulai Kelantan, timun, sambal belacan serta telur masin.

“Kami tidak jual nasi kukus ayam berempah sahaja, tetapi ada beberapa lauk lain yang boleh dipilih oleh
pelanggan. Antara lauk yang mendapat sambutan hangat adalah ayam percik
bakar,” jelasnya sambil memaklumkan harga nasi kukus bermula pada RM7.

Mengulas mengenai resipi nasi kukus dijualnya, Mohd. Najhan memaklumkan, dia memanfaatkan ilmu masakan nasi kukus yang diturunkan oleh ibunya.

Jelasnya, ibunya merupakan bekas peniaga nasi kukus di tepi Masjid Negara atau dikenali sebagai nasi kukus masjid yang cukup popular satu ketika dahulu.

“Ia resipi bonda saya sendiri yang juga merupakan seorang peniaga nasi kukus. Selepas dia tidak sihat, segala ilmu masakan sajian ini diturunkan kepada saya.

“Bagi memberi sedikit kelainan, saya membuat beberapa perubahan pada resipi asal. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas positif daripada pelanggan” katanya.

Untuk makluman, Abe’s Nasi Kukus turut mempunyai sebuah lagi trak makanan terletak di Jalan SS 21/37, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Mohd. Najhan memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinanuntuk menambah lagi cawangan trak
makanan Abe’s Nasi Kukus di beberapa lokasi terpilih dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, kami tidak bercadang untuk membuka restoran atau kedai. Sebaliknya, ingin menambah beberapa cawangan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN