KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) bagi membantu mana-mana individu melaksanakan Rukun Islam keempat itu dengan mudah.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen yang berlangsung sehingga Disember ini menggunakan “Zakat Tanda Syukur” sebagai slogannya.
Katanya, kakitangan kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan disarankan menunaikan zakat melalui potongan gaji agar memastikan bayaran zakat tidak membebankan.
“Kempen ini menyeru para majikan untuk menggalakkan pekerja membayar zakat secara potongan gaji. Bagi pekerja yang kurang berkemampuan, boleh berbuat demikian menerusi Skim Wakalah.
“Kami menyasarkan 5,000 pembayar zakat baharu. Sebanyak RM40 juta akan diagihkan kepada majikan melalui Skim Wakalah untuk membantu pekerja yang memerlukan di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Skim PZB di sini semalam.
Menurut Abdul Hakim Amir, antara kelebihan Skim PZB ialah majikan layak mendapat Skim Kafalah Muzzaki sebagai khairat kematian ke atas pembayar di mana waris boleh menuntut wang sehingga RM3,000. -KOSMO! ONLINE