fbpx

Penjara hadiah terbaik Tuhan untuk saya – Ahmad Dhani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD DHANI

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer popular Indonesia, Ahmad Dhani menganggap pengalaman dipenjarakan kira-kira dua tahun lalu sebagai hadiah Allah yang menjadikan dirinya lebih kuat.

Pemilik nama sebenar Dhani Ahmad Prasetyo itu berkata, hanya individu yang pernah berada di sebalik tirai besi sahaja dapat merasai makna di sebalik ganjaran tersebut.

“Bagi saya ini adalah hadiah terbaik Tuhan, malah hadiah paling besar yang pernah saya terima. Itulah cara saya melihat penjara sebagai ganjaran penuh makna. Sesuatu yang tak membunuhmu, buatmu lagi kuat.

“Jadi tiada penyesalan. Inikan hadiah Tuhan apatah lagi semua orang tahu saya masuk penjara bukan kerana jenayah, tetapi ada hubungan dengan (hal) politik. Pilihan raya pada April 2019, saya masuk (penjara) akhir Januari tahun itu.

“Orang memang boleh cakap macam-macam. Ini bukan hukuman atau cubaan daripada Tuhan. Saya tidak merasakan begitu, Tuhan juga tahu saya orangnya yang bagaimana.

“Cuma mungkin di Indonesia saya sudah selalu cakap, atau belum maklumkan di sini (Malaysia) bahawa masuk penjara itu bergantung kepada cara kita memahami maknanya,”katanya kepada Kosmo! Online.

Vokalis Dewa 19 itu ditemui pada sesi wawancara bersama media di sebuah hotel di Kuala Lumpur mengenai konsert ulang tahun ke-30 band tersohor itu yang dijadualkan di negara ini pada September depan.

Sebelum itu, Ahad lalu dia yang berkunjung ke ibu negara dengan ditemani isterinya, Mulan Jameela, lebih dulu menghiburkan penonton festival islamik, Garden of Eid
di Taman Botani Perdana di sini.

Terdahulu, Dhani yang juga anggota kumpulan tersohor Dewa 19 menjalani hukuman penjara selama setahun di Cipinang, Jakarta Timur selepas didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian menerusi Twitter.

Hukuman yang bermula 28 Januari 2019 itu disingkatkan sebulan lebih awal selepas Dhani endapat pengampunan untuk kes yang disabitkan dan dibebaskan pada Disember tahun sama.

Berkongsi perancangan ke arah konsert mega di Malaysia bersempena hari bersejarah Dewa 19, katanya penganjuran konsert tersebut adalah simbolik persaudaraan mereka sejak 35 tahun lalu

Akui Dhani, selain merangka persembahan jelajah di 30 bandar di Indonesia yang bermula di Surabaya, minggu lalu, Malaysia dan Singapura turut menjadi sebahagian daripada sejarah band tersebut.

“Hakikatnya andai dihitung usia
Dewa 19 mencecah 35 tahun kerana saya membentuk kumpulan ini pada umur saya 15 tahun, tetapi hanya lima tahun kemudian kami terjun ke dalam industri menerusi pelancaran lagu Kangen.

“Konsert periodik ini menjadi gelanggang penceritaan yang tentu saja bertepatan jalur perjalanan kami. Bersempena ulang tahun ke-30 ini, kami akan sampaikan 30 lagu selain menjelajah 30 buah bandar utama di Indonesia.

“Sama seperti di Indonesia, di Kuala Lumpur juga kita akan disertai vokalis jemputan kami, Ello. Segala-galanya diharap mampu mengembalikan nostalgia lalu tambahan pula banyak lagu dari album pertama sehingga terakhir dipilih sebagai seleksi.

“Ikutkan ada di antara repertoire jarang dibawakan ketika konsert tetapi bagi pengikut tegar yang mengikut Dewa 19 sejak dulu pasti tahu dendangan tersebut,” katanya lagi.

Dhani sepatutnya menyertai band berkenaan mengadakan Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, pada Februari 2019, namun posisinya terpaksa digantikan berikutan isu mahkamah.

Putera bongsu pemuzik tersebut, Dul Jaelani yang ketika itu baharu berusia 19 tahun mengambil alih tempat bapanya sebagai pemain keyboard disaksikan kira-kira 70,000 penonton. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI