fbpx

Peningkatan keupayaan teknologi TUDM pacu pembentukan modal insan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baginda bertitah ketika mencemar duli pada Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 di Pangkalan Udara Subang, hari ini. FOTO AFIQ RAZALI

SUBANG – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah peningkatan keupayaan warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berasaskan teknologi akan dapat memacu ke arah pembentukan modal insan yang berimpak tinggi.

Baginda bertitah, pembangunan keupayaan kuasa udara sebagai sebuah perisai melindungi negara memerlukan pembentukan warga udara berkapasiti tinggi.

“Ia turut menuntut pembangunan keupayaan peralatan yang seiring dengan arus kemodenan teknologi semasa.

“Justeru, dalam era perkembangan teknologi, persekitaran geostrategik serantau dan antarabangsa yang dinamik, pembangunan kapasiti warga udara serta transformasi keupayaan perlu bergerak seiring dalam membentuk sebuah angkatan udara pada masa hadapan yang kredibel.

“Warga TUDM perlu sebilang masa diterap dengan kemahiran yang mampan sejajar dengan evolusi pembangunan kapasiti,” demikian titah baginda ketika mencemar duli pada Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Baginda juga bertitah, pemantapan jasmani dan rohani selain memperkasa jati diri setiap warga udara sewajarnya terus diberikan tumpuan.

“Perkara ini penting supaya warga udara yang dilahirkan akan sentiasa berpegang teguh kepada disiplin dan etika ketenteraan serta memiliki sifat terpuji yang unggul.

“Bagi memastikan TUDM sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, keupayaan pertahanan negara juga perlu melalui transformasi secara menyeluruh dan holistik selari dengan perkembangan teknologi ketenteraan semasa,” titahnya.

Titah baginda lagi, aplikasi teknologi terkini bukan sahaja terhad kepada peningkatan keupayaan pesawat terbang, malah ia perlu meliputi peningkatan keupayaan kejuruteraan, logistik, latihan dan pengurusan ruang udara.

“Semua ini adalah demi untuk mendukung pertahanan komprehensif negara dan memperkukuh perkongsian berwibawa di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Beta berkeyakinan menerusi pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan sejajar dengan teknologi terkini, TUDM sebagai sebahagian daripada elemen pertahanan negara dapat menjamin kesejahteraan, kestabilan, keamanan dan kelangsungan ekonomi negara ini,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan peranan TUDM sebagai sebuah perisai kedaulatan negara yang cemerlang dalam pelbagai inisiatif kerjasama serantau dan di peringkat antarabangsa terutama mendepani krisis kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN