fbpx

Misi utama BN pulihkan negara – Tok Mad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Misi paling utama Barisan Nasional (BN) adalah memulihkan kembali negara selepas kegagalan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas PRU-14 kerajaan PH telah menyebabkan prestasi negara merosot berbanding sebelumnya seperti kepercayaan kepada institusi awam terjejas dan iklim pelaburan terus pudar serta perlahan.

Mohamad juga telah menggariskan tiga sebab utama kenapa BN perlu mengambil alih semula kerajaan pada PRU-15 nanti iaitu berkaitan pemulihan prestasi negara, mengembalikan kestabilan politik serta mencipta masa depan untuk generasi akan datang.

“Kerana itu kita mesti memulihkan Malaysia. Ia harus menjadi misi paling utama BN. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara ini apabila BN ditewaskan pada 2018. PH telah gagal dengan segagalnya di dalam mentadbir.

“Dari semua segi kita telah merosot, menyusut dan berundur ke belakang,” katanya ketika merasmikan Konvensyen BN dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Tambah Mohamad, walaupun kini BN kembali menjadi kerajaan dan menerajuinya tetapi dengan kuasa yang terhad dan tidak dominan, pelbagai tindakan yang sedikit agresif untuk usaha pemulihan tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat kekangan bahkan ugutan akibat persefahaman politik dari sekutu dan seteru yang longgar.

Manakala kedua katanya, BN mesti mengambil alih kembali pentadbiran negara kerana mahu mengembalikan semula kestabilan politik di Malaysia.

“Ketidakstabilan politik dalam tiga tahun telah menjerumuskan Malaysia ke era 20 tahun ke belakang. Bayangkan jika semua ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara yang terus ketinggalan dan tercorot.

“Kita mesti pasakkan dalam sanubari rakyat Malaysia untuk tidak terus bereksperimen dengan politik negara. Mereka mesti membuat keputusan dengan rasional dan objektif, bukan emosional dan terbawa-bawa dengan sentimen,” ujarnya.

Begitu juga katanya, BN mesti mengambil alih semula Malaysia kerana mahu mencipta masa depan untuk generasi akan datang.

“Mentadbir negara bukan setakat menguruskan untuk kemandirian hari ini tetapi juga tentang membina asas-asas kelangsungan hari esok, kita bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang.

“Kita perlu singkirkan segala noda dan kesalahan generasi sedia ada dan menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang.

“Kita hidup di zaman yang bukan lagi zaman kita, jadi janganlah kita terus menghancurkan zaman ini dan meninggalkan Malaysia dalam keadaan yang parah dan lelah kepada generasi baharu,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI