KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan sebanyak 1,179 kes baharu jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sepanjang tempoh minggu epidemiologi (ME) ke-21 sekali gus menunjukkan penurunan berbanding ME ke-20 dengan 1,233 kes.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kes yang dicatatkan bagi tempoh antara 22 hingga 28 Mei lalu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,905 kes bagi tahun ini.
“Kota Bharu merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 429 kes, diikuti Gua Musang (130 kes), Pasir Mas (108 kes), Tumpat (97 kes), Machang (87 kes), Kuala Krai (86 kes), Pasir Puteh (82 kes), Tanah Merah (75 kes), Bachok (65 kes) dan Jeli (20 kes).
“Kes yang dilaporkan sebahagian besarnya adalah membabitkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zaini, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan tahun ini, majoriti kes terdiri daripada dalam kalangan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 69.4 peratus.
Katanya, 91.4 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan adalah berusia enam tahun dan ke bawah, diikuti 7.5 peratus bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun. -KOSMO! ONLINE