fbpx

Warga Ukraine antara ditahan bersama syabu RM1.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jefferi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sekitar Cheras pada 24 Mei lalu.

KAJANG – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas penahanan empat lelaki termasuk seorang warga Ukraine dalam serbuan di kawasan parkir berhampiran deretan kedai di Batu 11, Cheras dekat sini pada 24 Mei lalu.

Serbuan terbabit turut berjaya membongkar taktik licik sindiket berkenaan yang menjadikan sebuah kereta sebagai tempat menyimpan dadah jenis syabu seberat 39 kilogram (kg) untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor (JSJN), Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, sindiket tersebut dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara jiran dan telah aktif mengedar secara kecil-kecilan sejak enam bulan lalu.

“Menerusi serbuan tersebut, kita telah menahan empat lelaki termasuk seorang warga Ukraine berusia antara 30 hingga 44 tahun yang sedang leka mengangkat kotak dipercayai mengandungi dadah.

“Polis juga menemui sekotak bungkusan teh cina serta plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 39 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya sedang menyiasat peranan lelaki warga Ukraine berkenaan dan tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya terdapat saki baki ahli yang masih aktif.

“Semakan dilakukan mendapati pasport milik individu warga Ukraine berkenaan adalah sah. Dia sudah dua kali datang ke Malaysia iaitu pada April lalu sebelum keluar ke Thailand dan datang semula pada awal bulan lalu (Mei).

“Hasil ujian saringan dilakukan mendapati dua daripada empat suspek berkenaan positif dadah dan dua daripada mereka juga mempunyai rekod kesalahan kes dadah serta jenayah dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan tersebut pihak polis turut merampas tiga buah kereta jenis Mercedes Benz, Toyota Vios, Perodua Bezza, wang tunai RM20,380 dan mata wang Thailand sebanyak 35,000 baht kira-kira RM4,500 serta 11 bentuk barang kemas berjumlah RM109,200.

Semua suspek direman tujuh hari bermula 25 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan permohonan sambungan reman akan dibuat esok. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI