fbpx

Sesuai status dan usia, Fazura pilih naskhah Islamik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZURA

LAMA wajahnya tidak menghiasi kaca televisyen mahupun skrin layar perak sejak keluarga menjadi fokus dalam urusan kehidupan.

Cuma baru-baru ini, pemilik nama lengkap, Nur Fazura Sharifuddin itu memberi berita gembira bahawa tidak lama lagi dia bakal terlibat dalam sebuah naskhah arahan Erma Fatima.

Bagaimanapun, hasrat tersebut tergendala atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Bukan mahu terus meninggalkan dunia lakonan, cuma baginya, dia ingin mencari naskhah yang sesuai dimainkan selaras dengan status dan usia sekarang.

“Hari itu nak berlakon dengan Erma dan patutnya buat masa bulan puasa tempoh hari. Tetapi, tergendala sedikit. Ramai orang sekeliling tanya, okey ke nak berlakon bawah arahan Erma sebab dia ada kontroversi.

“Bagi saya, itu semua tiada kena mengena dengan saya. Kita tolak tepi hal itu, yang penting niat kita adalah bila nak buat sesuatu, saya nak buat sebab bernuansa islamik.

Erma Fatima

“Saya nak buat sesuatu yang saya nak buatlah. Harapnya, jalan cerita naskhah tersebut dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada semua yang menonton. Itu yang paling penting,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Mengakui rezekinya sekarang lebih terarah terhadap perniagaan tudung iaitu Tudung Fazura, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) itu sangat mensyukuri kurniaan rezeki daripada Allah SWT.

BUKAN menjauh atau mahu terus meninggalkan dunia lakonan, Fazura sebaliknya menunggu sebuah tawaran dan naskhah yang benar-benar bermakna untuk disertainya.

“Semua pinjaman daripada-Nya tidak akan hadir tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat.

“Alhamdulillah syukur, ini semua rezeki daripada Allah. Semuanya daripada Allah SWT. Kalau tular, segala puji-pujian itu adalah milik Allah.

“Saya juga berharap, apabila sudah tular, saya dapat membantu jualan stokis dan ejen bawah kendalian saya. Itu yang saya bersyukur sangat,” tuturnya.

Diajak bercerita tentang perkembangan perancangan keluarga bersama suami tercinta, Fattah Amin dengan puteri sulung, Nur Fatima Aisya yang bakal menginjak usia dua tahun tidak lama lagi, Fazura mengakui sedang merancang untuk mendapatkan cahaya mata kedua.

Katanya, kalau tiada aral melintang dan diperkenankan Ilahi, dia tidak menolak untuk hamil sekali lagi sekitar hujung tahun nanti.

Mengakui tidak sukakan anak kembar, Fazura bagaimanapun tidak menolak jika itulah rezeki yang datang kepadanya.

Nak berempat

“Memang pun, kami (saya dan Fattah) sedang merancang untuk anak kedua. Fatima pun nak masuk usia dua tahun dah.

“Dia selalu tengok video ‘baby’ dan macam tak sabar nak jadi kakak. Insya-Allah, menuju hujung tahun, kami akan adun tepung apa semualah nak letak dalam acuan dan sebagainya (untuk hamil),” katanya dalam nada sedikit seloroh.

FAZURA memilih untuk bersedia hamil lagi sekitar hujung tahun ini.

Fazura, 39, turut memaklumkan dia sangat menginginkan anak lelaki. Kalau itu berlaku, pasti impian memiliki sepasang cahaya mata akan menambah bahagia dalam rumah tangganya.

“Mudah-mudahan nak anak lelaki. Pada masa sama, bermohon dan berdoa semoga dapat anak ketiga pula sebab nak famili yang besar.

“Kalau boleh saya tak nak kembar, sebab i don’t like twins (tak suka anak kembar). Kalau kembar, wajahnya nanti identical (sama),” ujarnya lagi.

Rancak bercerita, Fazura juga turut mendedahkan ketika hari raya Aidilfitri, salah seorang orang gajinya lari dari rumah dan dia bimbang kelakuan individu itu akan mencemarkan namanya kerana ‘pergi’ dengan membawa satu ‘identiti’.

Orang gaji lari

“Umur dia sudah 65 tahun. Dia sebenarnya memang tak boleh buat kerja rumah dah pun, tak boleh masak tak boleh buat apa. Kami fikir nak hantar dia pulang ke tempat ejen tapi kasihan.

“Sebab nanti kalau hantar kepada ejen, mesti mereka akan hantar pula ke keluarga atau rumah yang tak okey.

“Jadi, kami pun hantarlah dia balik ke kampung saya. Balik kampung, dia lari pula. Rupa-rupanya, dia dah buat benda begini enam kali,” katanya.

Ungkap Fazura, individu berkenaan memang suka lari dari majikan dan dia barangkali akan muat naik perkara tersebut dalam Instagram jika masih tiada jalan penyelesaian.

FAZURA agak kecewa apabila orang gajinya memilih untuk lari tanpa pengetahuannya.

“Bukan apa, sebab masa dia lari, dia pegang tas tangan tertulis jenama Fazura. Jadi, mungkin dia akan pergi cakap kepada semua orang dia pernah kerja dengan Fazura dan sebagainya.

“Saya takut akan menjejaskan nama baik saya, tak naklah. Saya akan kongsi dalam Instagram untuk terangkan perkara ini. Nama orang gaji itu Ani atau Sanisah,” ujarnya.
Fazura turut mengakui terkejut apabila kepercayaannya membawa individu berkenaan pulang ke kampung lebur begitu sahaja.

“Kami semua di kampung pada waktu itu untuk sambut raya. Selepas berbuka puasa, terus dia menghilang. Nak lari tapi saya difahamkan dia memang dah biasa buat kerja ini sebab ini bukan kali pertama.

“Di Malaysia ini, dia dah kerja banyak tempat dan enam kali melarikan diri. Dengan saya, dia kerja dah enam bulan. Tiada kerugian tapi kami masih siasat.

“Cuma saya nak nasihatkan sesiapa sahaja supaya berhati-hati memilih amah atau orang gaji. Orang gaji saya yang lain semua okey. Alhamdulillah cuma yang seorang itu agak bermasalah,” tutup Fazura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI