fbpx

Produk babi diletak sebelah produk halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk tidak halal dikesan diletak bersebelahan produk makanan halal di sebuah kedai serbaneka di Butterworth hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Dua buah kedai serbaneka di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini dikesan meletakkan produk makanan tidak halal seperti babi bersama produk halal sehingga menimbulkan keraguan pengguna.

Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya mendapati dua buah kedai serbaneka yang menjual produk makanan import popular dari Korea Selatan dan Jepun itu melakukan tindakan tersebut semasa melakukan operasi hari ini.

Kata Mohd. Wazir, pihaknya menasihatkan pemilik kedai berkenaan supaya membuat pengasingan segera agar tidak mengelirukan pengguna.

“Pengguna di luar sana mungkin tidak tahu makanan di sini ada yang telah bercampur (diletakkan di tempat yang sama).

“Pada masa yang sama, isu ini juga melibatkan soal sensitiviti terutamanya kepada pengguna muslim atau mereka yang beragama Islam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat kompaun dengan notis yang bernilai hampir RM15,000 dikeluarkan kepada pemilik di kedua-dua buah kedai serbaneka tersebut atas kesalahan berkaitan pelabelan.

Pada masa yang sama katanya, kira-kira 400 unit produk yang tidak mempunyai alamat pengimport dan tidak mengandungi sebarang maklumat yang ditulis dalam Bahasa Melayu atau Inggeris bernilai RM1,500 turut disita mengikut Peraturan 10 dan 11 Akta Makanan 1985 iaitu berkaitan pelabelan.

Tambah Mohd. Wazir, pihaknya tidak menolak kemungkinan makanan yang tidak dilabel itu dibawa masuk ke negara ini secara haram atau tidak sah.

“Kita tak nafikan perkara itu sebab terlalu banyak makanan import seperti dari Korea (Selatan) yang masuk ke negara ini secara pukal.

“Apabila ia didaftarkan pula, hanya satu atau dua produk saja, walhal, banyak (produk) makanan lain ada di dalamnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI