fbpx

Tragedi menjala ikan ragut nyawa abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal

GOMBAK – Hasrat dua beradik warga asing mahu menjala ikan di sungai berakhir dengan tragedi apabila salah seorangnya dilaporkan mati lemas selepas terjatuh dalam pusaran air di Sungai Kampung Kerdas 5, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima panggilan kira-kira pukul 12.58 tengah hari memaklumkan ada individu terjatuh ke dalam sungai.

“Sebelum kejadian berlaku, lebih kurang pukul 12 tengah hari, mangsa yang berumur 37 tahun dikatakan telah keluar rumah bersama adiknya untuk menjala ikan di Sungai Kampung Kerdas 5, di sini.

“Kedua-dua beradik itu dikatakan berjalan kaki ke Gombak Barrage (Tandop) untuk menuruni sungai dan dipercayai telah terjatuh di dalam pusaran air.

“Keadaan air yang deras telah menyebabkan mangsa lemas manakala adiknya berjaya diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan berada berdekatan lokasi dengan menggunakan tali,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, mangsa yang merupakan warga asing itu dijumpai terdampar di atas batu oleh penduduk kampung kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan fizikal didapati terdapat kesan lebam pada dahi dan tiada kesan kecederaan lain pada tubuh badannya,” katanya.

Jelas beliau, jenazah telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI