fbpx

Puteri Sarah tak nampak hala tuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI SARAH

SETIAP rumah tangga yang dibina pastinya mahu dihiasi dengan kebahagiaan dan berkekalan lama tanpa terlerai di pertengahan jalan.

Begitu juga laluan yang diharapkan pelakon cantik Puteri Sarah. Hampir separuh daripada sedekad hayat berumah tangga, hubungannya bersama pengarah terkenal, Syamsul Yusof tak reda dipukul gelombang. Semuanya gara-gara orang ketiga yang tidak diundang.

Bukan setahun dua memendam rasa, dalam sedar mahupun tidak, rupa-rupanya sudah lebih daripada empat tahun ibu anak dua itu menyimpan nestapa yang kian terbuku dalam di dalam jiwa.

Lama memendam, akhirnya semua terluah. Ibarat letusan lava merah dari gunung berapi, kekesalan di dadanya dibongkar satu demi satu.

Biarpun dari satu sisi barangkali dilihat membuka aib suami, Puteri Sarah percaya gerak hati.

KEKUATAN wanita berusia 36 tahun ini tidak lain tidak bukan terletak pada anak-anak dan kedua-dua keluarga selain doa orang ramai.

Tujuan utamanya merungkai segala persoalan yang memporak-porandakan mahligai impian tempoh hari bukanlah untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Semuanya bukan sekadar untuk meredakan segala beban yang ditanggung seorang diri selama ini sekali gus menjadi pengajaran buat semua tanpa membuka aib mana-mana pihak.

“Jujur sudah lama saya simpan dan pendam seorang diri. Bayangkanlah betapa lamanya saya menahan dan boleh kuat sampai ke tahap ini.

“Bukan sebulan dua saya kena dan makan hati tanggung derita seorang diri.

“Tetapi, empat tahun lamanya sejak wanita perosak rumah tangga itu muncul dalam hidup kami,” tuturnya membuka bicara bersama Pose.

AKUI Sarah, dia sudah melakukan yang terbaik dalam mempertahankan hubungan dan rumah tangganya yang kini sedang berada di kemuncak ujian.

Pengikat, anak-anak

Tiga jam slot penggambaran bersama pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu Khamis lalu terasa masa bergerak begitu pantas.
Kata Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, pernah satu tahap dia penat dan malas memikirkan apa yang sedang dialaminya ketika ini.

Katanya, kuat dan utuh kakinya terus melangkah ke hadapan hingga ke detik ini tidak lain tidak bukan disebabkan kedua-dua cahaya matanya.

“Kadang-kadang orang tanya saya, macam mana boleh kuat sampai ke tahap ini, jawapannya satu saja, anak-anak.

“Syaikhul Islam dan Sumayyah. Itulah dua insan yang betul-betul menjadikan saya kuat sampai ke tahap ini,” katanya.

Jelas Puteri Sarah, fokusnya buat masa ini cuma satu iaitu untuk terus kuat melayari kehidupan berduri kini sehabis baik dan fokus membesarkan kedua-dua syurga yang diamanahkan Allah.

Dia bersyukur, ketika rumah tangganya tidak henti-henti dibadai gelora yang entah bila penyudahnya, keluarga mentuanya tetap ada memberi sokongan.

“Alhamdulillah saya betul-betul bersyukur walaupun perihal rumah tangga masih belum selesai dan tidak nampak hala tuju, saya dikelilingi keluarga mentua yang tidak pernah menolak apatah lagi membuang kami bertiga.

“Mereka juga tahu apa sebenarnya yang terjadi dengan rumah tangga anak menantu mereka.

“Sampai sekarang mereka jaga kami dengan baik. Hubungan kami tetap sama macam sebelumnya,” katanya.

PUTERI SARAH menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa bagi menentukan yang terbaik buat rumah tangganya.

Lebih jelas

Saat dilayankan ajakan bersua muka, Puteri Sarah sebenarnya baru dua hari tiba di tanah air usai kembara rohaninya mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci, Mekah.

Sejak pulang dari bumi Anbiya, hati Puteri Sarah kini jauh lebih tenang berbanding sebelumnya.

Tidak sahaja tenang dalam melakukan apa sahaja perkara, dia bahkan bersyukur rezekinya selepas pulang dari Mekah melimpah-ruah.

“Saya jadi lebih tenang dan fokus kalau nak buat apa-apa sekarang ini. Tak kisahlah untuk bekerja, beribadah atau apa saja.

“Rezeki saya juga diperluaskan Allah. Alhamdulillah sejak pulang dari sana, jadual lebih produktif dan padat dengan penggambaran, tak kurang juga dilamar menjadi duta produk beberapa jenama.

“Kalau tiada aral melintang, selepas ini saya akan ada sebuah bisnes francais minuman popular sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, paling menjadi keterujaan, dia akan menyambung pelajaran dalam peringkat sarjana dan kembali bergelar pelajar tidak lama lagi.

“Saya akan sambung belajar dalam peringkat sarjana, cumanya tidak pasti lagi dalam jurusan apa, tapi mungkin lebih kepada pengurusan perniagaan.

“Saya betul-betul tak sabar nak belajar semula macam dahulu. Bab masa, pandailah saya urus dan bahagikan dengan beberapa komitmen wajib lain,” katanya.

Tiup semangat, rujukan

Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI Solekan @feiruzsohor Tatarias @dean.ishak Busana @wanandmary official @halim.hisammudin

Sejak kemelut rumah tangganya diketahui umum, seperkara yang turut disedari Puteri Sarah, ramai pengikut dalam Instagram tidak putus-putus menyapa untuk berinteraksi dengannya.

Menyapa bukan untuk menyimbahkan minyak ke atas bara, tetapi rata-ratanya lebih ke arah memberi sokongan serta dorongan dalam apa jua bentuk kepada dirinya.

“Saya perasan juga perkara ini. Saban hari ada saja netizen yang menyapa dan mesej. saya bertanyakan khabar, meniupkan kata-kata semangat dan doa agar terus tabah walaupun saya langsung tidak kenal mereka.

“Tak kurang juga yang menjadikan saya sebagai idola dan sumber inspirasi mereka kerana nasib serta jalan cerita kami serupa.

“Ada juga yang minta nasihat, tip dan petua daripada saya bagaimana untuk menjadi dan bergelar manusia kuat seperti saya,” katanya.

Sebelum menyimpul cerita, sempat juga Puteri Sarah melontarkan hasrat sekali lagi mahu menunaikan umrah hujung tahun nanti.

PUTERI SARAH berjanji enggan menangis dan terus berduka dengan apa yang berlaku, sebaliknya bangkit demi kehidupan mendatang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI