fbpx

Platform enjin carian perlu kena cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarang Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar pada Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022.

MELAKA – Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengenakan cukai kandungan terhadap platform enjin carian bagi memastikan keuntungan yang diraih dikembalikan kepada penyedia media tempatan.

Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia), Mohamad Azlan Jaafar berkata, cukai itu bertepatan dengan kerja keras dan kos yang ditanggung oleh media tempatan dalam menghasilkan kandungan.

Jelasnya, mekanisme itu juga bukan satu perkara baharu, malah telah dilaksanakan oleh beberapa buah negara di bawah Kesatuan Eropah (EU) seperti Australia dan Perancis.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengenakan cukai untuk memaksa platform enjin carian seperti Google yang mengaut keuntungan mudah daripada platform itu membayar balik kepada penyedia kandungan tempatan.

“Australia contohnya telah melaksanakan perkara yang sama dan saya kira Malaysia pun kena fikirkan, kalau kita nak ada industri media yang melonjak serta boleh banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang berlangsung di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Forum bertajuk Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan peluang itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI), Datuk Seri Abd. Jalil Hamid; Pengarah Editorial Free Malaysia Today (FMT), Jasbant Singh Partap Singh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.Com, Premesh Chandran.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan cukai itu juga dilihat mampu membantu syarikat-syarikat media tempatan dalam pengurusan kos penyediaan kandungan.

“Pada hari ini, cabaran dihadapi oleh syarikat media bukan sahaja daripada segi menyediaan kandungan berkualiti tetapi pendapatan untuk bertahan dalam suasana yang semakin getir.

“Sejak tahun 2004 di Amerika Syarikat (AS), 1,800 akhbar telah ditutup. Siapa nak sertai industri yang bergelut untuk memastikan pada 25 haribulan akan ada gaji kepada kakitangan?,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI