fbpx

Sudah bersediakah kita hadapi inflasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

NILAI mata wang Ringgit Malaysia jatuh lagi hingga ke paras RM4.39 berbanding AS$1 direkodkan pada 23 Mei lalu (Isnin).

Situasi itu meletakkan Ringgit Malaysia berada pada paras terendah dalam tempoh 22 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Nilai tukaran itu dijangka te­rus menurun untuk tiga hingga enam bulan akan datang.

Antara punca utama kepada kejatuhan ringgit adalah dise­babkan pengukuhan mata wang dolar AS, kelembapan ekonomi China dan konflik antara Rusia dan Ukraine.

Justeru, sudah bersediakah kita untuk berdepan cabaran inflasi yang bukan sahaja menggugat negara, malah hampir seluruh dunia?

Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmad Fadhly Arham berkata, ekonomi negara berhadapan dengan inflasi dan besar kemungkinan berhadapan dengan si­tuasi hiperinflasi sekiranya tiada langkah-langkah intervensi yang terkawal dan berkesan diambil.

Jelasnya, kerajaan perlu menetapkan harga-harga siling bagi keperluan ha­rian yang lebih baik dan efektif selain jaringan kese­lamatan sosial yang berstruktur perlu dijalankan.

“Jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif, sudah tentunya akan memberi kesan terhadap kos sara hidup dan peningkatan terhadap harga-harga barang.

“Sebagai contoh, harga ubat-ubatan yang diimport, harga dedak ayam yang diimport semua perlu dibayar dengan harga nilai ringgit yang lebih besar.

“Ini sudah pasti akan menyebabkan peningkatan harga ubat-ubatan yang dijual di Malaysia dan memberi kesan terhadap harga ayam tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Lantaran itu, Ahmad Fadhly berkata, rakyat perlu bersedia untuk berubah dari segi mental dan sikap.

Katanya, langkah persediaan pertama adalah berjimat cermat dan sentiasa mendahulukan ke­perluan daripada kehendak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh pula berpandangan, ringgit yang lemah boleh bertindak sebagai rangsangan kepada perniagaan Malaysia.

Menurutnya, peningkatan permintaan untuk produk domestik berkemungkinan akan menjana lebih banyak keuntungan untuk perniagaan tertentu seperti sektor pembuatan.

“Kadar pertukaran mempe­ngaruhi perbelanjaan pengguna harian negara dan juga mempengaruhi permintaan agregat ekonomi melalui kesannya ke atas kos eksport dan import.

“Malaysia adalah sebuah negara membangun, maka kadar pertukaran asing adalah pen­ting kepada pengimport dan pengeks­port yang besar dan ini akan turut memberi kesan kepada tahap keselamatan makanan dalam negara,” katanya.

Ujarnya, cabaran Malaysia untuk mengekalkan jaminan makanannya ekoran saiz populasi yang semakin meningkat di Malaysia, namun bekalan beras tempatan terhad.

“Pengeluaran beras tempatan nampaknya tidak mencukupi dan sejak beberapa tahun lalu, Malaysia bergantung pengeluaran beras dari negara lain yang mempunyai lebihan dengan mengimportnya ke dalam negara.

“Perkara ini juga sama untuk bahan dan bekalan makanan yang lain seperti ayam, daging, sayuran yang terpaksa diimport untuk memenuhi keperluan domestik,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI