fbpx
BANYAK pasangan yang mahu bernikah di Thailand kini takut berkunjung ke negara jiran susulan insiden letupan bom di Tak Bai pada Rabu lalu.

Ramai tangguh hajat nikah Siam angkara letupan Tak Bai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Insiden letupan dan berbalas tembakan yang berlaku di pekan Tak Bai, Thailand baru-baru ini tidak hanya menjejaskan rutin harian penduduk setempat, malah turut memberi kesan kepada pasangan yang ingin bernikah di negara berkenaan.

Perkara itu didedahkan beberapa ejen nikah yang mengakui segala persiapan bagi urusan perkahwinan pasangan warga tempatan di Thailand terpaksa ditangguhkan seketika atas faktor keselamatan.

Seorang ejen dikenali sebagai Nasir, 61, berkata, dia ada mene­rima panggilan daripada dua pasangan di Kuala Lumpur yang te­lah membatalkan hasrat mereka untuk bernikah di pejabat agama Narathiwat pada Khamis depan.

Menurutnya, pasangan itu memaklumkan bahawa mereka takut untuk berkunjung ke negara itu, lebih-lebih lagi di Na­rathiwat ekoran bimbang dengan keselamatan diri.

“Saya menguruskan perkahwinan pasangan tempatan di Thailand secara sah melalui pintu masuk Kompleks Imigre­sen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Pengkalan Kubor, Tumpat. Urusan dilakukan mengikut undang-undang.

“Bagaimanapun, insiden yang berlaku di Tak Bai baru-baru menyebabkan mereka takut sedang­kan lokasi perkahwinan yang ditetapkan kira-kira 60 kilometer dari tempat kejadian tersebut.

“Saya sudah menyiapkan semua dokumen perkahwinan dua pasangan itu ke sana, namun mereka memaklumkan tidak mahu ke sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

KAWALAN ketat dilakukan di pintu sempadan kedua-dua negara sejak kelmarin.

Menurut Nasir, dia mengenakan bayaran sebanyak RM3,500 untuk setiap pasangan yang bernikah di Narathiwat.

Katanya, ejen-ejen nikah Siam biasanya akan mendapat keuntungan RM500 hingga RM700 bagi menguruskan perkahwinan setiap pasangan.

“Bagaimanapun, sebagai ejen yang sah, saya juga bimbang dengan keadaan di sana kerana serangan atau kejadian tembakan kebiasaannya berlaku di luar jangkaan,” katanya.

Dalam pada itu, situasi sama turut dirasai ejen nikah Siam di Changlun, Kedah yang terpaksa menangguhkan urusan membawa bakal pengantin ke negara jiran.

Mohd. Zaidy, 40, berkata, dia terpaksa membuat keputusan tersebut atas faktor keselamatan pelanggannya.

“Saya sempat membawa dua pasangan bernikah di Thailand minggu lalu dan sepatutnya sepasang lagi pengantin pada minggu depan, namun terpaksa menangguhkannya,” katanya.

Katanya, kira-kira 12 pasangan pengantin memaklumkan mahu menangguhkan perancangan mereka bernikah berikutan insiden di Tak Bai.

“Walaupun ia berlaku di Kelantan, perasaan bimbang itu tetap ada. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya tangguh sebentar urusan membawa bakal pengantin ke Thailand,” ujarnya.

Namun katanya, ada beberapa pasangan yang tetap mahu meneruskan rancangan mereka bernikah di negara jiran itu.

“Saya akan melihat dahulu si­tuasi semasa. Biasanya keadaan akan pulih dalam tempoh tiga bulan,” jelasnya.

Beliau turut mengakui me­nerima sehingga 300 pesanan menerusi aplikasi WhatsApp sehari daripada pasangan yang ingin bernikah di negara jiran.

Bagaimanapun katanya, dia hanya menawarkan pakej VVIP dua hari satu malam kepada pelanggannya pada harga dari RM2,999 meliputi kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire, hotel empat bintang serta proses nikah sehingga mendapat surat pengesahan sijil nikah daripada Konsulat Malaysia di Songkhla. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN